Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualikum
Bergerak 3 kali berturut2 akan membatalkan solat.
1) Sekiranya saya sudah bergerak 2 kali berturut2, apakah tempoh masa utk saya boleh bergerak kembali? Adakah selepas sesuatu rukun? Sbg cth bergerak 2 kali ketika rukuk dan hanya boleh bergerak kembali ketika iktidall
2) adakah gerakan dalam pusingan (menggaru secara bulatan) dikira 1 pergerakan? Walaupon telah membuat gerakan bulatan 3 kali (menggaru bulatan lengkap 3 kali)?
Jawapan
Secara umum solat hendaklah didirikan dalam keadaan tenang serta mengelakkan diri dari sebarang pergerakan yang tidak ada kaitan dengan solat, oleh itu persediaan untuk solat bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi memastikan setiap perkara di sekeliling orang yang bersolat tidak mendatangkan gangguan ketika solat sedang ditunaikan.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, gerakan 3 kali berturut-turut yang membatalkan solat adalah 3 gerakan besar. Manakala gerakan kecil, tidak membatalkan solat walaupun dilakukan melebihi 3 kali gerakan. Gerak besar seperti menggaru dengan menggerakkan hampir seluruh jari, mengangkat tangan, menepuk atau melangkah. Gerakan kecil pula seperti menggaru menggunakan satu jari sahaja.
1. Tidak dianggap berturut-turut sekiranya gerakan besar itu diselangi dengan diam seketika. Seperti melangkah sebanyak 2 kali, kemudian diam seketika, kemudian melangkah sekali lagi, maka ia tidak dianggap sebagai 3 kali berturut-turut.
2. Telah disebutkan dalam kitab al-Taqrīrāt al-Sadīdah Fī al-Masāil al-Mufīdah karangan Ḥasan Bin Aḥmad al-Kāf berkaitan jenis perbuatan yang dikira satu pergerakan:
Maksudnya: Pergerakan tangan ke depan dan kembali, atau meletakkannya dan mengangkatnya, dianggap sebagai satu pergerakan jika dilakukan secara bersambung, iaitu tanpa berhenti.
Oleh itu, dikira satu pergerakan apabila menggaru lengkap satu bulatan kerana ia merupakan perbuatan bersambung, tidak berhenti.
Sekian, terima kasih.