Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/ Puan,
Minta maaf, saya ada beberapa soalan ingin bertanya:-
1) Orang berebut hendak cium hajarulaswad adalah sebab dapat mengurangkan dosa ATAU untuk mencerminkan sikap kepatuhan seorang Muslim mengikuti tuntunan Rasulullah SAW?
2) Surah Al-Hijr 15:39
قَالَ رَبِّ بِمَآ اَغْوَيْتَنِيْ لَاُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى الْاَرْضِ وَلَاُغْوِيَنَّهُمْ اَجْمَعِيْنَۙ ٣٩Ia (Iblis) berkata, “Tuhanku, karena Engkau telah menyesatkanku, sungguh aku akan menjadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi dan sungguh aku akan menyesatkan mereka semua
Soalan - Allah telah mencatat takdir setiap makhluk 50.000 tahun sebelum penciptaan langit dan bumi. Kalimah Iblis menurut bahasa Arab erti dibuang, dicampak atau dihalau.Keingkaran Iblis sudah ditakdirkan oleh Allah?
3) Surah Mukminoon ayat 102
فَمَن ثَقُلَت مَوٰزينُهُ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ
Barangsiapa yang berat timbangan (kebaikan)nya, maka mereka itulah orang-orang yang dapat keberuntungan.
Dan kalimah المُفلِحونَ ini telah kita berjumpa di dalam ayat yang pertama surah ini lagi. Maknanya mereka yang telah berusaha dengan amalan itu. Kerana mereka amalkan sendiri – bukannya berharap orang lain bersedekah amal.
Soalan: Adakah majlis tahlil itu bid'ah? Harapan yang sia-sia sahaja?Pahala memang tidak akan sampai?
Terima kasih.
Regards,
Aishah Tan
Jawapan
1) Hukum mencium hajarul aswad adalah sunat berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA katanya:
Maksudnya: Demi Allah sesungguhnya aku mengetahui bahawa kamu adalah batu yang tidak dapat memberi mudarat dan tidak dapat memberi manfaat. Jika aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mencium kamu maka aku tidak akan mencium kamu. (Riwayat Ahmad)
Antara kelebihan menyentuh atau mencium hajarul aswad ini adalah akan diampunkan dosa-dosa. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya menyentuh hajarul aswad dapat menghapuskan dosa-dosa. (Riwayat Ahmad)
Oleh itu, perbuatan mencium atau menyentuh hajarul aswad merupakan tuntutan syarak sehingga ia disunatkan dan akan dihapuskan dosa oleh Allah SWT bagi yang menyentuhnya. Walaupun begitu, jika perbuatan berebut-rebut untuk menciun hajarul aswad di Kaabah dapat mendatangkan mudarat, maka ia boleh menjadi haram disebabkan mudarat itu.
2) Perbahasan tentang takdir kita perlu teliti dengan baik dan terperinci. Ini kerana ia terkait dengan qada' dan qadar Allah SWT. Secara ringkasnya, berkenaan dengan tafsiran iblis disesatkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Hijr ayat 39, ia bermaksud Allah SWT menjadikan iblis ini sesat dan kufur selamanya kerana cenderungnya iblis memilih kesesatan dan kekufuran serta berputus asa terhadap rahmat dan pengampunan Allah SWT. (rujuk: al-Tafsir al-Kabir Imam al-Razi)
Kesemua yang berlaku ini , berlaku atas taqdir Allah SWT yang Allah SWT telah mengetahui yang Iblis akan mengingkari perintah-Nya. Iblis dan manusia diberi keupayaan (al-Kasbu) dan pilihan berdasarkan iradah (kehendak) Allah SWT. Oleh itu mereka dipertanggungjawabkan atas perbuatan mereka.
3) Perbahasan mengenai tahlil adalah khilaf ulama dan ia berdasarkan ijtihad. Maka tidak boleh menghukumkan amalan tahlil sebagai bid'ah mahupun sesat atau sia-sia. Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 17 Julai 2014 menyatakan persoalan khilafiah adalah perkara ijtihadiyah dan tidak boleh sama sekali dihukumkan bid’ah kerana amalan tersebut telah diterima dan menjadi amalan ulamak muktabar sejak dahulu.
Mentafsirkan المفلحون pada Surah ini sebagai "mereka yang telah berusaha dengan amalan sendiri ialah orang yang berjaya" adalah tidak tepat dan tidak mengikut kaedah tafsir yang sebenar. Ini kerana maksud orang-orang yang berjaya (al-muflihun) dalam al-Quran adalah luas.
Berkenaan dengan perbahasan pahala sampai atau tidak kepada si mati, para ulama menyatakan pahala bacaan al-Quran dan amalan tertentu sampai kepada mayat. Hal ini berdasarkan kepada kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Jika mati seseorang manusia maka terputuslah segala (pahala) amalannya kecuali tiga perkara: pahala sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh mendoakan kedua ibu bapanya. (Riwayat Muslim)
Juga hadis daripada Aisyah RA bahawa beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya ibuku meninggal secara mengejut (tiba-tiba), aku menyangka kalau dia dapat bercakap nescaya dia akan bersedekah, maka adakah dia mendapat pahala sekiranya aku bersedekah untuknya?” Rasulullah SAW menjawab: “Ya.” (Riwayat al-Bukhari).
Sekian, terima kasih.