Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
1.Suami telah melanggar taklik yang dibuat. Kami telah menghadiri perbicaraan dan sah talak jatuh. Dalam tempoh eddah, kami telah rujuk dan telah buat pengesahan rujuk. Soalan saya, adakah taklik yang telah dilanggar telah terbatal? Bagaimana jika suami melanggar taklik tersebut lagi?
2. Saya telah bertanya dengan ustaz katanya taklik masih berjalan melainkan akad nikah semula. Namun saya ada membaca persoalan sama di dalam page ini mengatakan taklik sudah batal apabila talak sudah jatuh.
Saya keliru. Yang mana satu betul? Mohon pencerahan.
Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Sesuatu taklik talak akan terluput atau terbatal apabila taklik talak tersebut dilanggar dan disahkan talak telah berlaku. Oleh itu, apabila berlaku rujuk, walaupun dalam tempoh iddah, maka tidak timbul lagi isu perlanggaran taklik talak oleh suami selepas daripada itu. Ini berbeza sekiranya berlaku penceraian bukan disebabkan perlanggaran taklik talak, kemudian suami rujuk kepada isteri di dalam tempoh iddah, maka taklik talak tidak berbatal dan masih berkuatkuasa. Ini kerana isteri semasa di dalam tempoh iddah, masih dianggap sebagai isteri yang sah. Oleh sebab itu, jika suami melafazkan talak dalam tempoh iddah, talak berlaku.
2. Melainkan sekiranya berlaku talak secara bain, sama ada suami menceraikan isterinya dengan lafaz talak atau secara khuluq, sehingga berakhir tempoh iddah, lalu mereka bernikah semula dengan akad dan mahar yang baharu. Pada ketika itu, taklik talak yang berlaku pada tempoh perkahwinan sebelum itu akan terbatal.
Secara ringkasnya, taklik talak terbatal dengan sebab perlanggaran taklik talak tersebut, atau berlaku penceraian atau pembubaran perkahwinan secara bain, yang mana suami perlu berakad nikah dan memberikan mahar yang baru kepada isteri.
Sekian, terima kasih.