Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, duit pampasan dikategorikan sebagai mal al-mustafad atau wang perolehan. Oleh itu, duit pampasan pemberhentian kerja tertakluk kepada zakat yang wajib dikeluarkan sekiranya mencukupi syarat iaitu mencukupi nisab dan haul. Pembayaran wajib dikeluarkan apabila wang tersebut berada di dalam simpanan selama 1 tahun qamariah dan melebihi nisab. Walau bagaimanapun, diharuskan dan digalakkan untuk membuat pengeluar zakat sebaik sahaja mendapat wang tersebut. Kadar zakat yang dikenakan adalah sebanyak 2.5%.
Manakala persoalan berkaitan mengagihkan zakat secara sendiri kepada asnaf tanpa melalui amil yang dilantik, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 November 2006 telah membincangkan Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
i. Dari segi siasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam. Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah atau Ulil Amri adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut. Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib.
Sekian, terima kasih.