BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum , saya ada satu persoalan. Bagaimana cara mengambil wuduk jika seseorang mengalami amputasi tangan sampai atas siku? Bagaimana kaedah yang betul menurut syarak? Mohon pencerahan, terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

 .الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk persoalan yang diajukan, jika terdapat bahagian anggota wuduk yang masih ada selepas menjalani amputasi, maka bahagian tersebut adalah wajib dicuci. 
Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh Muhammad bin Khatib asy-Syirbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifati Alfadi Minhaj. Beliau menyatakan anggota badan yang diamputasi seperti tangan tetapi tidak mencapai siku, maka bahagian yang tidak sampai ke siku wajib dicuci. Namun begitu, jika anggota badan yang diamputasi mencapai ke siku, maka bahagian itu tetap wajib dicuci. Di dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifati Alfadi Minhaj ada menyatakan:-
 

فَإِنْ قُطِعَ بَعْضُهُ وَجَبَ غَسْلُ مَا بَقِيَ، أَوْ مِنْ مِرْفَقَيْهِ فَرَأْسُ عَظْمِ الْعَضُدِ عَلَى الْمَشْهُورِ ، أَوْ فَوْقَهُ نُدِبَ بَاقِي عَضُدِهِ


Maksudnya: Jika sebahagian anggota badan yang wajib dicuci semasa berwuduk mengalami kemalangan seperti terpotong, maka wajib membasuh bahagian yang terlebih tidak sampai ke siku. Jika terpotong hingga melebihi paras siku, maka hujung lengan hendaklah dicuci menurut pandangan yang masyhur. Manakala bahagian atas iaitu hujung lengan, maka hukumnya sunat untuk mencuci bahagian tersebut.

Di samping itu juga , Ibnu Hajar menyatakan di dalam kitab Tuhfatul Muhtaj fi Syarhil Minhaj menjelaskan bahawa di dalam mazhab Syafi'i, jika bahagian anggota wuduk terpotong sebahagian daripadanya maka bahagian yang tidak terpotong itu wajib dicuci. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 6

message user image