Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan mufti.
Jika ditempat kerja ada seorang kafir ni suka menindas,mengganggu seorang muslim,Adakah boleh dibaca kan qunut nazilah keatas dia si kafir ni, jika sudah tidak tahan akan sikap nya yang menindas setiap masa.setelah nasihat pun x boleh pakai lagi.
Bagaimana pandangan tuan mufti.
Jawapan
Secara asasnya, hukum bacaan qunut Nazilah adalah sunat ketika umat Islam ditimpa sesuatu musibah yang memudaratkan. Musibah itu sama ada dalam bentuk cuaca yang ekstrim, wabak penyakit, serangan musuh dan lain-lain lagi. Disunatkan kepada umat Islam membaca qunut Nazilah apabila mengetahui umat Islam sedang ditimpa musibah.
Tuan boleh merujuk artikel yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam Taudhid al-Hukmi: Hukum Membaca Qunut Nazilah.
Berdasarkan situasi yang dinyatakan, adalah lebih baik laporan dipanjangkan kepada majikan yang mempunyai kuasa mengambil tindakan ke atas gangguan yang dibuat kepada rakan sekerja. Ini kerana nasihat telah diberikan tetapi gangguan masih berlaku, sekiranya masih tiada tindakan diambil, laporlah kepada pihak PDRM bagi mengelakkan perkara yang buruk berlaku. Ada tindakan yang lebih wajar dan relevan boleh dilakukan berbanding membaca qunut Nazilah.
Sekian, terima kasih.