BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya ada beberapa soalan yang ingin dikemukakan. Suami saya ada masalah "was-was" ragu ragu yang kuat tentang bab nikah. 
Soalan pertama ; kami pernah bergaduh ttg perkara kecil sahaja. Pada suatu hari lepas habis pergaduhan suami saya cakap " abang tahu abang tak sempurna, pergilah dekat lelaki lain kalau nak" sedang suami saya berkata tu suami saya tkde niat, selesai sahaja suami saya berckap, hatinya terlintas kalau dah jumpa lelaki lain, beliau akan menceraikan. 
Jadi suami saya, ingin sangat nak kepastian daripda pihak ustaz untuk pencerahan; sebab keraguannya itu suami saya sentiasa tak tenang. Jadi mohon jasa ustaz untuk memberi pencerahan atas soalan yang saya ajukan. 
Soalan kedua, bila mana dah berlaku macam ni suami saya pernah bagitahu saya tentang lintasan atas keraguannya. Saya juga memang bertekad takkan meninggalkan suami saya. Tapi dlm selalu pergaduhan saya selalu mengatakan "pergilah cari perempuan lain" tapi saya tak berniat apa apa time berkata sedemikian. Adakah terkait dgn kata2 lintasan  suami saya itu?
Seterusnya, suami saya yang minta untuk bertanyakan soalan ini juga beliau bercakap ttg soalan ini dan menceritakan ttg lintasan hati tadi di hadapan saya. Adakah ianya boleh jatuh cerai ustaz? Sedang hanya sekadar untuk menceritakan/ menyoal kepada ustaz ttg isu kami diatas. Saya berharap sangat ustaz menjawap dengan kadar segera agar suami saya tidak meragui lagi. 
 

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan :

1. Lafaz suami: "abang tahu abang tak sempurna, pergilah dekat lelaki lain kalau nak" boleh dianggap sebagai lafaz kinayah atau kiasan iaitu lafaz yang tergantung kepada niat suami ketika menuturkan perkataan tersebut, seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak namun sebaliknya seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku, dan suami puan diuji dengan perasaan was-was atau perasaan syak dan ragu-ragu yang mana Islam tidak menetapkan sesuatu hukum berdasarkan rasa syak, ragu-ragu, sangkaan atau tidak pasti. Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 36:

إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Maksudnya: sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran. 

Begitu juga kaedah fiqah yang mengatakan:

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan syak (keraguan).

Oleh itu, seandainya seseorang itu yakin yang dia tidak berniat talak ketika melafazkan perkataan atau ayat yang berbentuk kinayah, maka ia tidak memberi apa-apa kesan kepada ikatan perkahwinan yakni talak tidak jatuh. Adapun lintasan hati yang hadir selepas lafaz itu diungkapkan tidak dikira niat yang mengiringi lafaz kinayah itu, dan ia tidaklah menjadikan talak jatuh.

Dalam perkara ini, puan dan suami perbanyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar diberi kekuatan untuk melawan perasaan was-was serta sibukkan lah diri dengan kerja yang sedia ada dan perbanyakkan zikir agar tidak banyak masa dan ruang kosong yang membolehkan syaitan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik dan sebagainya.

2. Perkataan puan kepada suami "pergilah cari perempuan lain" adalah suatu kenyataan semata-mata dan ia tiada kaitan dengan talak sama ada soreh ataupun kinayah.

3. Tidak jatuh talak kalau sekadar bercerita atau menyoal kepada ustaz tentang talak. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili bahawa talak tidak berlaku pada seorang faqih yang mengulangi perkataan talak dalam pengajarannya dan juga pada orang yang memberi hikayat yakni bercerita dari hal orang lain atau bercerita hal diri sendiri, kerana dia tidak berniat terhadapnya, namun berniat untuk pengajaran dan juga penceritaan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 8

message user image