BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt.

Semalam saya dan isteri ada masalah sedikit semasa saya kerja waktu malam. Kemudian semasa perbualan di dalam telefon, isteri saya beritahu saya bahawa dia mahu keluar rumah untuk jumpa saya di tempat kerja. Saya tidak mahu isteri saya keluar rumah kerana sudah lewat malam dan keadaan kami berdua tidak berapa baik. Kemudian, saya terlafaz taklik kepada isteri saya "kalau kau keluar, aku ceraikan kau".

Soalan saya, sekiranya isteri saya keluar rumah, adakah terjatuh talak? Kerana saya berpendapat bahawa apa yang saya katakan itu tidak jelas mengatakan sekiranya isteri saya "keluar rumah" tetapi cuma mengatakan "kalau kau keluar". Kemudian niat saya berkata begitu hanya untuk waktu itu sahaja. Mohon pencerahan daripada pihak tuan. Saya harap sangat tuan dapat bantu saya. 

Assalamualaikum wbt
 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, lafaz taklik iaitu: "kalau kau keluar, aku ceraikan kau", ucapan "aku ceraikan kau" boleh membawa maksud hasrat suami "aku akan ceraikan" jika isteri keluar, maka taklik talak tidak berlaku. Ucapan itu juga boleh membawa maksud "tercerai kau" jika isteri keluar, maka taklik talak berlaku. Oleh itu, sama ada taklik talak berlaku atau tidak bergantung kepada niat suami semasa melafazkan perkataan itu. 

Walau bagaimanapun, pihak yang berbidangkuasa di dalam menentukan jatuh atau tidak talak, sah atau tidak taklik talak adalah Mahkamah Syariah, maka disarankan untuk melaporkan perkara tersebut kepada Pejabat Agama Islam Daerah terdekat untuk mendapat kepastian dan saranan dengan kadar segera jika perlanggaran taklik berlaku.

Sekiranya suami mengaitkan taklik talak pada tempoh masa tertentu, maka taklik talak tersebut terikat dengan tempoh masa yang diniatkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 6

message user image