BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, ada satu hari tu setelah hujan jalan basah lepastu saya nampk ada anjing lalu n then setelah itu saya pun lalu laluan yang sama, adakah jalan yang dilalu anjing itu bernajis dan selipar saya jadi bernajis? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan soalan, kasut yang memijak jalan yang basah dan terdapat kotoran akan dibersihkan setelah memijak jalan basah yang bersih. Berdasarkan hadis daripada seorang wanita dari bani Al-Asyhal:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّ لَنَا طَرِيقًا إِلَى ‌الْمَسْجِدِ ‌مُنْتِنَةً فَكَيْفَ نَصْنَعُ إِذَا مُطِرْنَا؟ قَالَ: أَلَيْسَ بَعْدَهَا طَرِيقٌ هِيَ أَطْيَبُ مِنْهَا قُلْتُ: بَلَى، قَالَ فَهَذِهِ بِهَذِهِ    

Maksudnya: Aku berkata: Wahai Rasulullah sesungguhnya jalan kami menuju masjid ada banyak kotoran, maka bagaimana yang patut kami lakukan jika hujan turun (sehingga menjadi jalan yang berlecak), Rasulullah berkata: Bukankah setelah jalan yang kotor masih ada jalan yang lebih bersih untuk menyucikannya. Aku berkata: benar. Rasulullah berkata: maka yang ini (jalan yang kotor) dengan yang ini (jalan yang bersih untuk menyucinya).

(Rujuk Musnad Ahmad, 45/433)

Padanya terdapat dalil tidak dituntut untuk mencari-cari bahagian pada pakaian yang terkena najis ketika solat namun cukup sekadar pada pandangan umum yang pakaian itu suci dan boleh dipakai untuk solat. Ini sekaligus dapat mengelakkan dari timbul penyakit was-was yang banyak menimpa sebahagian orang hari ini.

Namun begitu, diketahui bahawa dalam mazhab al-Syafi’e, kenajisan anjing merangkumi seluruh badannya kerana diqiaskan air liur anjing, sebagai mana hadis berikut. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW:

إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ، أُولَاهُنَّ أَوْ أُخْرَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: Jika anjing menjilat (sambil minum) dalam bekas milik salah seorang daripada kalian, maka basuhlah (dengan air) sebanyak tujuk kali, basuhan pertama atau basuhan terakhirnya dengan air bercampur tanah.

(Rujuk Musnad al-Syafi’e, 1/150)

Jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqhiyyah yang berkaitan dengan syak menyebutkan bahawa:

الشك لا يبنى عليه حكم

Maksudnya: Hukum tidak akan terbina keatas perkara syak

Kesimpulannya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Adapun, bekas tapak kaki atau kawasan laluan anjing yang sukar untuk dielakkan kecuali melaluinya termasuk dalam perkara ‘umum balwa’ iaitu perkara yang sukar dielakkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 7

message user image