Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.. apa hukum nya seorang lelaki berstatuskan tunang orang, dipaksa nikah dengan seorang perempuan lain yang tidak dia cintai? Bila lelaki itu menolak, perempuan tersebut mengatakan semua persiapan telah di buat, dan tolong jangan malukan keluarga nya, sedangkan kan lelaki ini tidak pernah bersetuju, dan semua persiapan seperti hantaran, duit kenduri, sewaan dewan, disiapkan oleh perempuan itu sendiri.. dan perempuan itu merayu rayu supaya jgn malukan dia..
lelaki tersebut telah bernikah atas dasar paksaan, apakah hukum pernikahan mereka?
Jawapan
Sekiranya rukun serta syarat-syarat pernikahan dipatuhi dengan sempurna, maka hukum pernikahan tersebut adalah sah pada syara. Berkaitan kenyataan bahawa lelaki tersebut dipaksa berkahwin, menurut pandangan syara kondisi seseorang yang dipaksa secara ghair tam (tidak sempurna) yakni yang tidak menyebabkan bahaya terhadap nyawa atau kehilangan anggota badan suami, maka pernikahan itu adalah sah.
Walaubagaimanapun, tindakan memaksa lelaki itu berkahwin dalam keadaan di luar keredhaannya adalah suatu perkara yang boleh menyebabkan matlamat perkahwinan tidak tercapai dengan sempurna. Ini kerana perasaan sayang dan cinta kepada pasangannya tidak dapat dikongsikan dengan baik atas alasan paksaan dan tiada rasa cinta dan sayang pada isterinya itu. Oleh itu, banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar rumahtangga yang telah terbina itu, walaupun dalam keadaan tiada rasa cinta dan sayang mampu terlaksana dengan baik dan harmoni serta pasangan sedaya upaya mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing sesuai dengan ketetapan syara.
Sekian, terima kasih.