Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam. Saya ingin follow-up mengenai soalan ini untuk kepastian.
Saya ingin bertanya mengenai pemilihan nama anak.
Anak saya diberi nama - Ara dengan maksud berpendirian tetap.
Saya sekadar ingin mendapatkan pandangan dari sudut syarak mengenai nama ini. Adakah ia mempunyai makna yang baik dalam islam dan sesuai digunakan.
Saya amat menghargai penjelasan dan pencerahan dari pihak mufti berkenaan hal ini.
Mohon pihak mufti dapat menjawab soalan yang saya kemukakan.
Terima kasih. Wasalam
Jawapan
Menamakan dengan nama yang baik adalah dituntut kerana nama merupakan doa dan akan diseru dengannya pada Hari Kiamat kelak. Hadis Daripada Abi al-Darda’ RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu. (Riwayat Abu Daud)
Dalam konteks pemberian nama anak, "أَرَاء" (Arā) berasal daripada kata dasar dari bahasa Arab رأى yang bermaksud "melihat" atau "menyedari".
Jika daripada bahasa yang lain, Ara yang dieja dengan آرا (Ārā) adalah dari bahasa Parsi & Urdu yang bermaksud "hiasan", "keindahan", atau "perhiasan".
Berikanlah nama yang membawa maksud yang baik kepada anak kerana ia merupakan satu doa. Adapun nama Ara adalah harus digunakan, dengan membawa maksud pandangan (bahasa Arab), dan keindahan (bahasa Parsi dan Urdu).
Sekian, terima kasih.