BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Soalan saya ayah saya telah menjual tanahnya melalui seorang broker tanah Dan telah melalui proses jual beli di pejabat tanah, setelah beberapa tahun ayah saya telah meninggal dunia, walaubagaimanapun pejabat tanah Masih menghantar cukai tanah ke rumah anggaran selepas 10 tahun pejabat tanah menghantar surat untuk waris menuntut s mula tanah tersebut kerana tiada tuntutan Dari pembeli sebelum ini. Kami Cuba mencari broker tersebut tidak dapat dijumpai, ada yg beritahu telah meninggal dunia juga. Disini apakah tindakan yang boleh diambil Oleh waris. Adakah membuat tuntutan semula tersebut, kami telah memberi tahu situasi kami bahawa arwah ayah telah menjualnya. Walaubagaimanapun pejabat tanah telah memberi tahu tiada tuntutan Dari pada sesiapa. Dan hanya waris yang boleh menuntutnya semula. Dan apakah hukumnya. Harap dapat pencerahan. Adakah boleh dianggap rezeki waris. Atau bagaimana


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, urusan jual beli tanah terikat dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Pejabat Tanah Daerah atau Negeri. Urusan tersebut haruslah mempunyai dokumen yang sah seperti geran atau apa-apa perjanjian jual beli tanah antara penjual dan pembeli bagi memudahkan urusan individu yang terlibat khususnya kepada waris setelah kematian penjual (pemilik tanah). Secara umumnya jika pejabat tanah masih menghantar cukai tanah atas nama arwah, ini menunjukkan bahawa hak milik tanah masih belum ditukar kepada pembeli, ini mungkin berlaku kerana pembeli gagal melengkapkan proses pindah milik selepas urusan jual beli selesai.

Dalam situasi ini ada dua situasi yang perlu dipertimbangkan:

Situasi pertama : wang jualan sudah diterima arwah

  • Sekiranya arwah telah menerima bayaran penuh, tetapi pembeli gagal menguruskan pindah milik, secara prinsipnya hak pemilikan tanah telah berpindah kepada pembeli kerana urusan jual beli telah selesai. Namun, proses pindah milik secara rasmi di pejabat tanah masih belum disempurnakan.

  • Namun, jika waris mendapat semula tanah itu, mereka wajib mencari waris pembeli untuk menyelesaikan isu ini.

  • Jika waris pembeli tidak dapat dijumpai, tanah tersebut boleh diuruskan dengan cara berikut:

    • Jika waris tahu harga jualannya, maka mereka boleh mengembalikan nilai jualan tersebut sebagai amanah.

    • Jika tidak dijumpai waris pembeli tersebut tanah tersebut boleh diserahkan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri sebagai pemegang amanah harta umat Islam yang sah.

Situasi kedua: wang jualan belum diterima

  • Jika arwah belum menerima bayaran, maka tanah itu masih milik arwah secara sah.

  • Dalam kes ini, waris boleh menuntutnya kembali dan ia menjadi harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut faraid.

 

Sekiranya waris tidak pasti sama ada arwah sudah menerima bayaran penuh atau belum, ada beberapa langkah yang boleh diambil dan diikhtiarkan:

  • Semak dokumen perjanjian
    • Jika ada perjanjian jual beli bertulis, semak terma pembayaran dan bukti penerimaan bayaran oleh arwah.
    • Boleh cuba cari resit, surat perjanjian, atau dokumen berkaitan dalam simpanan keluarga atau pejabat tanah.

  • Semak rekod akaun bank arwah
    • Jika bayaran dibuat melalui bank, waris boleh memohon penyata akaun arwah (melalui prosedur pewarisan yang sah) untuk melihat transaksi berkaitan.

  • Cari pembeli atau warisnya
    • Jika pembeli masih hidup atau warisnya boleh ditemui, boleh cuba berbincang untuk mendapatkan kepastian mengenai pembayaran.

  • Dapatkan pengesahan dari pejabat tanah
    • Pejabat tanah mungkin mempunyai rekod berkaitan urusan jual beli, termasuk jika ada pindah milik yang tergendala atau atau permohonan yang belum dilengkapkan

Jika benar-benar tiada pihak lain yang menuntut dan waris tidak dapat mengesahkan pembayaran, waris boleh menerima tawaran pejabat tanah untuk menuntut semula tanah tersebut, tetapi jika kemudian terbukti arwah telah menerima bayaran penuh, tanah itu tetap hak pembeli dan perlu diserahkan mengikut akad asal.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih. 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 28

message user image