Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Utsaz, saya ada satu soalan, Apa hukum bekerja di rumah/ office orang bukan islam yang ada patung berhala? Saya sudah kerja di rumah majikan sudah 4 bulan tapi rasa tidak selesa bekerja di rumah majikan yang ada patung berhala kerana saya muslim, dan majikan memelihara anjing.
Jawapan
Merujuk pada persoalan yang diajukan, bekerja di rumah atau pejabat majikan bukan Islam yang mempunyai patung berhala dan memelihara anjing adalah diharuskan selagi mana pekerjaan yang dilakukan itu halal dan tidak melibatkan sebarang bentuk kesyirikan atau perkara yang berunsurkan haram.
Islam melarang penyembahan berhala, tetapi tidak melarang seorang Muslim berada di tempat yang ada patung tersebut selagi tidak terlibat dalam penyembahan atau penghormatan kepada berhala itu. Jika ia sekadar hiasan atau kepercayaan majikan, ia tidak menjejaskan akidah selagi saudara tidak terlibat dalam sebarang bentuk penghormatan terhadapnya.
Menyentuh anjing dalam keadaan basah (seperti bulu anjing basah atau terkena air liurnya) memerlukan samak atau sertu kerana anjing dikategorikan sebagai najis mughallazah. Jika anjing tersebut tidak mengganggu kerja dan saudara boleh mengelak daripada bersentuhan, maka ia tidak menjadi masalah.
Islam sangat menitikberatkan ketenangan dan keselesaan dalam bekerja. Jika persekitaran tersebut menyebabkan tekanan mental atau ketidak selesaan yang serius, saudara boleh mempertimbangkan dengan mencari pekerjaan lain yang lebih sesuai. Jika masih mahu bertahan, boleh cuba berbincang dengan majikan untuk mengurangkan ketidak selesaan tersebut, seperti menyediakan ruang khas untuk solat atau menjauhkan anjing daripada tempat kerja saudara.
Sekian, terima kasih.