Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya ada beberapa soalan mengenai sebuah permainan terkemuka di Malaysia yang popular dikalangan anak muda iaitu Genshin Impact. Genshin Impact merupakan permainan RPG aksi dunia terbuka yang boleh dimainkan secara percuma. Ia dibangunkan dan diterbitkan oleh MiHoYo Co., Ltd.
Dalam Genshin Impact, terdapat sebuah sistem "gacha" dikenali sebagai "Wishes", di mana pemain melakukan tarikan pada banner untuk mendapatkan watak atau senjata secara rawak dengan menggunakan mata wang dalam permainan yang dipanggil "Fates". "Fates" juga boleh didapatkan secara percuma melalui eksplorasi dunia & beberapa acara masa terhad.
Setiap banner menawarkan peningkatan kadar untuk watak atau senjata tertentu dalam tempoh terhad. Sistem "pity" memastikan pemain memperoleh item bertaraf tinggi selepas sejumlah tarikan tertentu; secara asasnya, semakin banyak anda menarik, semakin tinggi peluang anda untuk mendapatkan watak atau senjata yang diinginkan.
Soalan 1. Adakah game gacha itu haram ? Kerana kewujudan sistem pity ini seperti menghalalkan sistem gacha.
Soalan 2. Apakah hukum jika pemain melakukan tarikan pada banner tanpa menggunakan wang ringgit namun menggunakan "Fates" hasil eksplorasi & acara masa terhad yang boleh didapati secara percuma ?
Jawapan
Permainan game secara asasnya adalah harus selagimana tidak terlibat dengan perkara-perkara yang diharamkan dalam Islam seperti unsur maysir (perjudian), gharar (ketidakpastian) dan mensyirikkan Allah. Merujuk kepada persoalan dan huraian berkenaan sistem permainan ini, terdapat beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan dari perspektif syarak, iaitu:
Unsur Ketidaktentuan (gharar): Pemain tidak mampu mengawal apa yang akan mereka perolehi setelah membuat “wish” (permintaan). Setiap permintaan yang dibuat pasti mengharapkan untuk mendapatkan watak atau senjata 5 bintang, akan tetapi peluang untuk mendapatkannya adalah rendah yang boleh dianggap sebagai gharar dalam transaksi. Jual beli yang melibatkan unsur ketidaktentuan atau spekulasi yang tinggi adalah tidak dibenarkan. Jika pemain membelanjakan wang atau wang dalam sistem permainan (seperti primogems) tanpa kepastian mengenai apa yang akan mereka terima dianggap suatu yang dilarang dalam Islam.
Unsur perjudian (maysir): permainan ini mempunyai unsur perjudian kerana terdapat unsur peluang dan ketidakpastian untuk mendapatkan sesuatu dengan kos atau nilai tertentu khususnya menggunakan duit sebenar tanpa mengetahui apa yang akan diterima boleh membawa kepada penindasan kepada beberapa pihak. Begitu juga, jika hanya menggunakan duit dalam permainan yang boleh membawa ke arah unsur perjudian yang berkemungkinan boleh memberi kesan atau kerugian kepada pemain.
Adalah sebaiknya dielakkan permainan yang mempunyai unsur-unsur berikut di samping mengelak dari berlaku ketagihan kepada pemain untuk terus membeli wishes tanpa berfikir panjang yang boleh membawa kepada kerugian wang dan masa seseorang.
Beberapa garis panduan telah ditetapkan dalam kitab Fiqh al-Manhaji sebagai penentuan hukum sesuatu hiburan permainan video, game online dan sebagainya seperti berikut:
Makruh: Jika hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik atau buruk kepada manusia kerana menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah.
Haram: Jika ia membawa kepada keburukan kepada individu dan masyarakat iaitu dengan berlakunya percampuran perkara yang buruk atau yang diharamkan syarak.
Dibenarkan dan digalakkan: jika hiburan itu memberi kesan dan impak yang baik kepada individu dan masyarakat.
Berikut juga merupakan pautan soalan yang mempunyai kaitan dengan permainan ini untuk rujukan tuan:
Sekian, terima kasih.