BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

assalamualaikum...saya nak tanya apakah hukum joki akaun game seperti membantu orang lain untuk menaikkan rank atau level akaun tersebut dan mengambil upah dari orang itu...sebab setahu saya terms of rules sesebuah game kebanyakkan nya melarang untuk dijoki atau dijual belikan... adakah ini halal dalam islam kerana terms of rules melarang untuk menjual,membeli dan memindahkan akaun orang lain...jadi duit upah yg saya ambik itu halal atau tak?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan, berdasarkan maklumat dan carian yang dilakukan dalam dunia permainan atas talian (online gaming), istilah "joki akaun" merujuk kepada perbuatan seseorang yang mengambil alih akaun pemain lain untuk mencapai sesuatu objektif dalam permainan seperti menaikkan pangkat (rank), mengumpul ganjaran (reward), atau membuka akses kepada ciri-ciri tertentu dalam permainan — dan kebiasaannya dilakukan dengan bayaran (upah).

secara asasnya Islam membenarkan seseorang mengambil upah atas khidmat yang diberikan, selagi mana khidmat tersebut adalah:

  • Halal sifatnya,

  • Tidak membawa kepada penipuan atau kerosakan,

  • Tidak melanggar hak orang lain atau perjanjian yang sah.

Sebagaimana kaedah fiqh menyebut:

الأصل في المعاملات الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم
 

Maksudnya: Asal pada sesuatu muamalat itu adalah harus, sehingga datang dalil yang mengharamkannya.

Dari aspek yang lain pula jika terdapat isu pelanggaran terma dan syarat permainan sebagaimana yang disebutkan iaitu larangan memberi akaun kepada orang lain, menjual atau memindahkan akaun atau menggunakan cara luar biasa untuk capai kedudukan tertentu. Maka hukum upah perlu dinilai semula kerana apabila seseorang mendaftar dan menggunakan permainan itu, secara tidak langsung dia telah bersetuju dengan syarat tersebut, maka ia menjadi satu bentuk ‘aqd atau perjanjian yang mesti dipatuhi. Melanggarnya termasuk dalam kategori khiyanah (pengkhianatan) dalam akad. Firman Allah SWt dalam surah al-Maidah ayat 1:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad (perjanjian) itu.

Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
 

Maksudnya: Orang Islam itu terikat dengan syarat-syarat yang mereka buat. (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis di atas sekiranya perkhidmatan joki game yang ditawarkan itu secara jelas bertentangan dengan terma dan syarat yang telah dipersetujui bersama pihak pembangun permainan, maka perkhidmatan tersebut termasuk dalam kategori yang tidak dibenarkan, sama ada haram atau sekurang-kurangnya syubhah.

Oleh itu, upah yang diperoleh daripada kerja joki seperti yang diterangkan merupakan perkara yang perlu diambil perhatian, kerana ia datang daripada sesuatu yang tidak sah akadnya dan boleh dianggap sebagai bentuk khianat terhadap perjanjian asal. Sebaiknya elakkan dari mencari pendapatan dengan sesuatu yang bertentangan dengan hukum syarak dan peraturan atau perjanjian yang dipersetujui kerana rezeki yang halal walau sedikit, lebih menenangkan kehidupan berbanding kemewahan yang diraih dengan cara yang bertentangan dengan syarak. Maka, carilah rezeki yang bersih, dan yakinlah bahawa Allah akan cukupkan walau pada jalan yang disangka sempit. Firman Allah SWT dalam surah at-Talaq ayat 2 dan 3:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا * وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 23

message user image