Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya seorang student universiti dan banyak menggunakan produk digital milik syarikat bukan Islam seperti website, Ai, software, game dan lain-lain.
Kesemua produk digital itu mestilah berbayar dahulu kepada syarikat bukan Islam tersebut barulah saya dapat guna, kerana itu adalah produk digital kepunyaan mereka. Namun, harga produk digital tersebut terlalu mahal jika saya ingin membelinya secara sah atas faktor tukaran matawang negara.
Jadi saya godam/hack produk tersebut supaya produk digital itu yang asalnya berbayar sebelum guna menjadi percuma dan saya ada juga menggunakan produk digital tersebut secara cetak rompak/piracy.
Pada pengetahuan saya, hukum menggodam/hacking dan membeli barang cetak rompak milik orang Islam dan orang bukan Islam (kafir zimmi, musta'man, mu'ahad) adalah haram. Kecuali jika barang tersebut milik kafir harbi, maka boleh hack dan mencetak rompak produk digitalnya untuk tujuan tidak membangunkan ekonomi negara kafir harbi iaitu Zionis Israel. Saya juga telah baca IRSYAD HUKUM SIRI KE-864: ISU BERKAITAN PENGKATEGORIAN KAFIR HARBI dan telah memahaminya.
Jadi saya godam dan guna produk syarikat tersebut secara cetak rompak kerana saya menganggap syarikat itu adalah milik kafir harbi atas alasan berikut:
- HQ syarikat tersebut bertempat di Culver City, California yang merupakan sebahagian dari US. Sepertimana yang sedia tahu US adalah negara yang banyak membantu dan menyumbang pada negara Israel. Jadi cukai dan pembayaran lain syarikat bukan Islam di California itu akan diberikan kepada kerajaan US dan sebahagian peratusan kewangan dari cukai itu akan diserahkan kepada Israel.
- Syarikat tersebut telah mempunyai banyak cawangan studio di banyak negara seperti United States, Canada, South America dan Europe yang juga menyokong Israel.
- Syarikat tersebut banyak menjalinkan perhubungan (partnership) dengan syarikat-syarikat pro Israel yang lain seperti studio Disney yang secara terangan menyokong Israel.
- Bank di US kebanyakkannya menyumbang kepada negara haram Israel setelah saya cek di portal boikot Israel.
Jadi soalan saya berdasarkan situasi saya diatas itu SS Mufti,
1. Bolehkah saya hack untuk guna produk digital tersebut kerana yakin telah syarikat itu sedikit sebanyak ada memberu support kepada US-Israel yang merupakan kafir harbi yang wajib diperangi.
2. Bolehkah saya download atau beli produk digital syarikat itu secara cetak rompak untuk tidak menyokong dan membangunkan ekonomi syarikat bukan Islam itu yang kewangannya sedikit sebanyak menyumbang kepada US.
3. Apakah ada pandangan ulama' Syafieyyah atau ulama' mazhab ataupun ulama'-ulama' lain yang membenarkan perbuatan saya ini kerana saya telahpun hack dan mencetak rompak produk digital itu.
Terima Kasih SS Mufti atas pertolongan dan pencerahan. Maaf atas soalan saya yang panjang kerana saya perlu menjelaskan situasi saya dengan betul untuk mendapatkan hukum.
Jawapan
Pada asasnya, Islam menjaga hak milik manusia termasuklah hak milik penulisan, rekaan, ciptaan dan hak milik kreativiti. Umat Islam tidak boleh mengambil atau mencuri hak milik orang lain tanpa keizinan atau kerelaannya. Dalam hal ini hak cipta samaada dalam bentuk penulisan, ciptaan, dan rekaan adalah dipelihara dari sudut syarak. Sebaiknya mohonlah kebenaran atau izin terlebih dahulu daripada pemilik asal sekiranya ingin menggunakan gambar di laman sesawang atau web tersebut.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil
Produk digital ialah suatu bentuk harta intelek (intellectual property) yang mempunyai nilai dan diiktiraf dalam Islam. Maka, menggunakan atau mengambilnya tanpa izin pemilik asal adalah zalim, walaupun mereka bukan Muslim. Lebih parah, jika seseorang menjual produk cetak rompak tersebut dan mengambil keuntungan daripadanya dan ia adalah perbuatan yang haram dan perlu dihentikan segera.
Niat untuk tidak menyokong mereka yang memusuhi Islam adalah murni, tetapi Islam mengajar umatnya agar niat yang betul mesti disertai dengan cara yang betul. Menentang kezaliman tidak boleh dilakukan dengan kezaliman yang lain. Sebaliknya, umat Islam disarankan:
Menyokong alternatif digital buatan umat Islam.
Menggunakan platform sumber terbuka (open-source) yang percuma.
Mengedukasi masyarakat tentang boikot yang strategik dan berkesan.
Menyokong syarikat yang pro-Palestin dan tidak menyumbang kepada Zionis atau musuh-musuh Islam.
Seorang Muslim yang baik seharusnya membuat pertimbangan dengan akal yang jernih dan hati yang tenang. Tindakan seperti boikot mestilah dilaksanakan dengan penuh hikmah, agar tidak tersasar dari matlamat asal dan tidak pula melanggar batas undang-undang yang ditetapkan. Kita juga perlu menilai, adakah tindakan yang dilakukan benar-benar memberi kesan, atau sekadar ilusi yang tidak membawa hasil. Apatah lagi jika usaha itu akhirnya dijadikan jalan untuk meraih keuntungan peribadi maka ia merupakan sesuatu yang amat tidak selari dengan prinsip Islam yang menekankan kejujuran, amanah, dan keberkatan dalam rezeki.
Sekian, terima kasih