Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukum wanita dalam iddah (kematian suami) utk menetap dirumah anak kerana akan tinggal berseorangan di rumah sendiri? Adakah dibenarkan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bagi seorang wanita yang kematian suami, mereka wajib ihdad (tidak berhias) dalam tempoh iddahnya iaitu empat bulan sepuluh hari, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 234:
Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber’iddah) selama empat bulan sepuluh hari.
Wanita yang sedang ber’iddah kematian suami juga diwajibkan untuk tinggal dan duduk di rumahnya (al-marhum suami) sehingga tamat ‘iddah, selagi mana tidak takut serta bimbang akan diri, agama dan maruahnya. Namun demikian jika wujud kebimbangan, maka diharuskan untuk pergi dan tinggal di rumah lain yang lebih selamat seperti rumah anaknya. Hal ini disebut oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam karyanya Tuhfah al-Muhtaj:
Maksudnya: Dan seorang wanita yang ber’iddah harus berpindah daripada rumah kediamannya kerana takut akan dirinya, atau anaknya, atau harta kepunyaan orang lain yang dalam jagaannya meskipun sedikit, atau sebab-sebab yang khusus juga secara zahir seperti roboh, tenggelam, pencuri atau bimbang akan dirinya, selagi mana wujud keraguan kerana darurat. Dan jelas bahawa wajib berpindah apabila wanita tersebut meyakini adanya fitnah.
Justeru, harus terus tinggal di suatu tempat lain yang lebih selamat sehingga tamat iddah.
Sekian, terima kasih.