BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. 

1. Lelaki boleh berikhtilat dengan wanita selagi tidak menimbulkan fitnah. Apakah yang dimaksudkan dengan fitnah itu dan apakah contohnya?

2. Adakah boleh seorang lelaki pergi makan semeja dengan beberapa perempuan lain di kedai makan?

3. Apakah hukum berbual dengan bukan mahram perkara umum seperti asal dari mana, kerja di mana dan sebagainya?

4. Adakah boleh bergurau dengan bukan mahram? Dan apakah contoh batasnya? 

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Hidup ini Allah S.W.T ciptakan untuk menguji siapakah di antara manusia yang paling baik amalannya. Allah S.W.T akan menguji manusia dengan kebaikan dan keburukan sebagai bentuk fitnah atau ujian dan kepada Allah S.W.T kelak setiap manusia akan kembali. Ada banyak fitnah di muka bumi ini, antaranya fitnah kemiskinan, kemewahan, kejayaan, harta, anak, peperangan, banjir,  gempa bumi, wanita, kebakaran, kematian, kehilangan, kesakitan, kesempitan dan berbagai macam fitnah lainnya.

Allah S.W.T menjadikan wanita apabila dilihat akan menimbulkan keinginan (syahwat) dan kaum lelaki mudah tergoda dengan mereka. Untuk itu, fitnah wanita adalah fitnah yang dahsyat kerana pada dirinya semua fitnah seperti suaranya, rupa parasnya, pergerakannya dan sebagainya. Ini dikuatkan lagi oleh ayat al-Quran di dalam surah Ali 'Imran ayat 14:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوٰتِ مِنَ النِّسَاۤءِ وَالْبَنِيْنَ وَالْقَنَاطِيْرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْاَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا ۗوَاللّٰهُ عِنْدَهٗ حُسْنُ الْمَاٰبِ

Maksudnya: " Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik." 

Justeru, fitnah wanita ini adalah gambaran daripada Baginda Nabi SAW kepada manusia akhir zaman yang melihat kepada wanita dengan pandangan yang sangsi dan merosakkan. Dalam masa sama, gambaran ini merujuk kepada wanita yang tidak mempedulikan maruah diri sehingga menyebabkan terjatuhnya lelaki ke dalam fitnah wanita apabila memandangnya.

Untuk itu sebaik-baik wanita ialah yang bertakwa dan menjaga maruah diri daripada terjatuh ke dalam jurang fitnah yang membinasakan.

Allah SWT memulakan cinta syahwat itu bermula dari wanita, sebelum menyebutkan emas, perak, kenderaan dan pertanian. Kenapa wanita? Kerana manusia selalu mencintai dan menganggap indah segala sesuatu yang berkaitan dengan syahwat, fikirannya selalu mengarah kepada syahwat. Allah SWT menyatakan kecintaan manusia terhadap wanita yang pertama menunjukkan fitnah yang sangat luar biasa daripada wanita. 

Disebabkan itu, Rasulullah S.A.W berpesan kepada kaum lelaki supaya mereka berhati-hati atau menjauhkan diri daripada melihat wanita yang bukan-mahramnya, berdua-duan dengannya, bercampur baur dengan mereka dan seumpamanya. Sehinggakan Allah SWT memerintahkan kepada lelaki mahupun perempuan untuk menjaga pandangannya. Sekiranya kita terlihat lawan jenis, maka cepat-cepatlah alihkan pandangan tersebut sebelum syaitan memasuki dan mempengaruhi fikiran serta hati kita. Dan, segeralah mohon perlindungan dan kemaafan kepada Allah SWT agar kita terpelihara dari godaan tersebut.

1. Fitnah dalam konteks batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan bermaksud tidak melakukan perkara yang dilarang atau perkara yang boleh membawa kepada perkara yang dilarang dari segi syarak dalam sebarang bentuk kemaksiatan mahupun kemungkaran. 

Antara perkara yang dilarang adalah:

  • Berdua-duaan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya: "Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan". (Riwayat Al-Tirmizi)

  • Melihat aurat sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Nur: ayat 30-31:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ. 

.وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya:" Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakanDan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka ".

  • Bersentuhan atau bersalaman.
  • Pergaulan bebas.
  • Berhubungan melalui telefon atau video call tanpa sebarang keperluan.
  • Bergurau senda.

2. Duduk sekumpulan bersama lainan jantina hanya diharuskan dalam perkara-perkara yang bersifat hajiyyat (hajat) seperti menyelesaikan tugasan universiti, pekerjaan dan sebagainya. Namun begitu, pergaulan tersebut hanya diharuskan selagimana menjaga batas pergaulan berlandaskan panduan syarak. Walau bagaimanapun, jika terdapat peluang duduk sesama jantina adalah terlebih utama bagi mengelakkan sebarang bentuk fitnah yang kemungkinan boleh berlaku.

3. Diharuskan bertegur sapa di antara lainan jantina yang dapat mengakrabkan dan menyegarkan suasana selagimana menjaga batas pergaulan yang dibenarkan oleh syarak. Walau bagaimanapun sebaiknya sesuatu pergaulan itu perlu didasari dengan hajiyyat (hajat) supaya tidak membawa kepada perbincangan yang tidak bermanfaat. Adapun berbual dalam keadaan berdua-duaan tanpa sebarang hajat dan kerana suka-suka ditegah oleh Islam.

4. Bergurau senda sesama lainan jantina adalah perkara yang tidak dituntut dalam Islam. Ini kerana, kebiasaan gurau senda antara lelaki perempuan yang bukan mahram tidak membawa sebarang keperluan lebih-lebih lagi apabila berdua-duaan. Namun, sekiranya perbuatan itu diperlukan bagi keadaan dan tempat-tempat tertentu seperti bagi memeriahkan suasana tegang, tidak berdua-duaan maka diharuskan dengan sekadarnya. Adapun jika bergurau senda itu atas dasar suka-suka sehingga boleh menimbulkan syahwat antara dua pihak, maka ianya dilarang.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 47

message user image