BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t, saya ingin bertanyakan bagi pihak kawan saya. Situasinya begini, kawan saya sudah berkahwin dan baru-baru ini terjadi perkara yang mengancam perkahwinan mereka disebabkan kehadiran orang ketiga. Suaminya seorang ahli politik mula mengenali seorang penyanyi baru yang juga merupakan seorang pempengaruh (influencer). Jadi Si isteri mula mencurigai yang si suami telah berlaku curang. Jadi si isteri (kawan saya) cuba bertanya beberapa kali kepada si suaminya kerana dia mempunyai bukti yang jelas dan ibu mentuanya (ibu suami) juga tahu mengenainya. Mereka juga telah bergaduh beberapa kali sebelum ini sehingga hampir bercerai disebabkan suaminya berhenti kerja dan cuba membuat bisnes dan tidak berjaya dan akhirnya memasuki bidang politik mengikuti jejak bapanya. Paling saya risaukan, baru-baru si isteri bertanya adakah benar suaminya mempunyai perempuan lain dan suaminya menafikan dan tidak membenarkan si isteri menghubungi perempuan (penyondol) itu, jika hubungi atau menyerang si perempuan itu maka jatuh talak baginya. Si isteri tidak menghubungi perempuan tersebut tetapi ibu mentuanya yang menghubungi perempuan tersebut. Sebab mengapa ibunya menghubungi saya tidak tahu. Baru-baru ini si isteri beritahu saya yang dia masuk live TikTok perempuan (influencer) itu. Influencer itu bercakap topik berkenaan poligami. Influencer itu dalam livenya berkata, "Ada cerita tentang kawannya (konon) ada hubungan dengan seorang lelaki (si suami, andaian) tetapi dia tidak mahu berpoligami. Dia katakan kalau lelaki itu sudah sayangkan kita dan hubungan yang serius sehingga berkahwin, jadi dia dah tak sayangkan isteri sekarang lah kan, katanya kepada viewers nya." Si isteri yang sertai live tersebut menulis komen begini, "Kalau suaminya dah tak sayangkan si isteri, mestilah suaminya dah lama ceraikan isterinya." dikomen dengan akaun private nya. Si influencer yang membaca komen itu kemudian terdiam dengan ekspresi tidak berpuas hati. Persoalannya di sini, adakah ini telah melanggar syarat lafaz cerai taklik suaminya kerana komen di live perempuan penyondol itu dan adakah telah jatuh talak kepada isterinya itu. Mohon penjelasan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Dalam menjawab pertanyaan puan:

Lafaz yang dinyatakan dalam pertanyaan ini adalah merupakan lafaz taklik iaitu "Jika hubungi atau menyerang si perempuan itu maka jatuh talak baginya" . Dan jika berlaku pelanggaran kepada taklik ini maka ia boleh membawa kepada jatuhnya talak.

Menurut Dewan Bahasa Dan Pustaka, perkataan menghubungi adalah bermaksud : membuat perhubungan dengan seseorang untuk memberitahu sesuatu.

Oleh yang demikian, tindakan isteri masuk live influencer tersebut dan memberikan komen pernyataan dalam live itu boleh membawa makna si isteri "berhubung untuk memberitahu sesuatu". Dan tindakan isteri ini secara umumnya boleh dianggap telah melanggar taklik yang dilafazkan oleh suami dan boleh menyebabkan jatuhnya talak.

Walau bagaimanapun, memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 37

message user image