BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Sy ingin kepastian mengenai konsep "funder fundee" yg melibatkan saya dan abg sy. Saya ingin tahu adakah ia melanggar hukum atau tidak kerana ia betul2 mengganggu fikiran sy. 

Abg sy telah melabur kpd saya sebanyak rm30,000 untuk sy jalankan perniagaan hijab. Awal perjanjian, sy bgtau yg sy akan bagi dia RM3,000 setiap bulan sbgai untung. Bulan pertama, dia bg rm10,000 sy dah bayar dia rm13,000. Bulan ke dua, dia letak lagi rm10,000 dan sy dh pulangkan rm13,000. Bulan ke tiga, dia letak lagi rm10,000 dan saya bayar rm3000 sbgai untung sehingga bulan ke 5. Jadi, Sepanjang 5 bulan berlalu, saya bayar tanpa gagal rm3000 setiap bulan sbgai untung dia.  Total wang yg telah sy bayar kepada dia adalah rm35,000. Masa bulan ke lima, saya dah terasa sgt terbeban kerana sy rasa sy tanggung banyak rugi. Jadi, sy bgtau dia sy perlu stop. Dan selepas itu, dia meminta sy pulangkan modal rm10000 lagi kerana sy stop. 
 

sy bgtau yg ikutkan, dia telah menerima lebih dari apa yg dia labur sebenanrnya. Dia dh ada untung rm5000 disitu. Kalau dia minta pulang modal rm10,000 lg, maknanye dia akan dpt untung rm15000 secara total. Dia kata, saya yang berjanji untuk bg rm3000 setiap bulan. Janji tetap janji katanya. Sedangkan sy dh kotakan janji sy dgn byr rm3000 tanpa gagal tiap bulan. Cuma sekarang sy perlukan masa untuk pulang modal dia itu. Dan dia anggap sy berhutang dgn dia. 
 

sy rasa tak adil dan terbeban. Mohon bagi pencerahan kerana saya sangat2 perlukan penjelasan. 
Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan maklumat yang saudari berikan, akad yang berlaku antara saudari dan abang saudari ini secara asasnya adalah akad yang tidak menepati prinsip syariah, kerana ia membawa ciri-ciri riba yang dilarang dalam Islam. Walaupun niat asal mungkin baik dan ingin bantu satu sama lain, namun cara dan bentuk akad itu sendiri perlu disemak semula supaya tidak menzalimi mana-mana pihak.

Dalam Islam, pelaburan perlu dilakukan melalui akad yang sah, contohnya seperti akad mudharabah, di mana pelabur (funder) menyediakan modal, dan usahawan (fundee) menjalankan perniagaan.

Dalam mudharabah:

  • Keuntungan dibahagikan berdasarkan nisbah yang dipersetujui bersama, dan

  • Jika berlaku kerugian, pelabur perlu menanggung kerugian setakat modal, manakala fundee mungkin kerugian modal, usaha dan masa.

Namun dalam kes saudari, funder dijanjikan pembayaran tetap RM3,000 setiap bulan, tanpa mengambil kira untung rugi sebenar perniagaan. Ini menjadikan akad tersebut mengandungi riba, kerana duit yang diberi (modal) dikembalikan dengan lebihan yang tetap dan dijamin, tanpa risiko kerugian yang merupakan ciri utama yang ditegah dalam muamalat Islam. Tiada perniagaan sah yang hanya menjanjikan keuntungan sepenuhnya tanpa sebarang risiko untuk rugi. Ia berdasarkan kaedah fiqh:

الغُنم بالغرم

Maksudnya: Perolehan keuntungan adalah dengan menghadapi risiko kerugian.

Sepanjang tempoh lima bulan, saudari telah membayar RM3,000 sebulan, menjadikan jumlah bayaran RM15,000, dan keseluruhan yang telah diterima oleh abang saudari adalah RM35,000, sedangkan modal yang diberikan hanya RM30,000.

Ini bermakna, secara realitinya beliau sudah pun menerima kembali modalnya serta keuntungan sebanyak RM5,000. Maka, permintaan tambahan modal RM10,000 lagi setelah perjanjian diberhentikan, tidak wajar dituntut, kerana ia melebihi dari apa yang dijanjikan pada asalnya. Jika benar akadnya adalah pelaburan, maka pelabur tidak boleh menuntut keuntungan yang tetap apatah lagi ketika syarikat tidak berada dalam keadaan untung.

Dal kes ini sebaiknya

  • Lakukan perbincangan semula dengan baik, berbincang atas dasar kasih sayang dan persaudaraan.

  • Bawa bersama data prestasi syarikat, laporan jualan atau aliran tunai sebagai bukti keadaan sebenar syarikat supaya abamh saudari selaku funder faham realiti semasa.

  • Terangkan juga bahawa Islam tidak zalim kepada pelabur, dan tidak juga membebankan peniaga. Apa yang Islam ajar melalui akad seperti mudharabah dan musyarakah sangat adil iaitu di mana pelabur ada hak untung, tapi juga kena bersedia tanggung risiko.

Jika semua pihak memahami kedudukan syariah dan dengan niat untuk saling membantu dengan cara yang betul, pasti akan ada titik persefahaman yang baik.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 40

message user image