Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum mufti,
Saya ingin bertanya berkenaan dengan hukum main permainan (game):
1. Zenless zone zero
2. Wuthering wave
3. Girl Frontline 2: Exilium
Adakah dibenarkan walaupun terdapat karakter yang berpakaian tidak menutup aurat sepenuhnya?
Saya main game ni kerana penceritaanya dan akan menutup bahagian aurat dengan tangan ketika main game.
Adakah dibenarkan berbuat sedemikian?
Mohon diperjelaskan. Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara,
Bermain game atau melihat karektor animasi yang tidak menutup aurat adalah harus kerana ia bukan manusia. Walau bagaimanapun, seandainya karektor animasi itu yang melampau seperti perempuan itu berpakaian seksi yang tidak sopan atau boleh menaikkan syahwat maka hukum melihatnya adalah haram. Selain itu, seandainya menonton animasi tersebut boleh menimbulkan syahwat, tema yang menghairahkan atau jalan cerita animasi tersebut yang boleh menjerumuskan ke arah penzinaan atau kemaksiatan maka hukumnya adalah haram. Walaupun begitu animasi ini bukan manusia nyata, ia tetap boleh membangkitkan syahwat dan membawa kepada perkara yang tidak baik seperti ketagihan pornografi atau maksiat-maksiat yang lain.