Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam, saya ingin bertanyakan tentang wali. Wali perempuan masih hidup dan tinggal di Sabah, Kami di Selangor. Kami cuba menghubungi wali untuk memberikan kebenaran berkahwin, tetapi wali tidak memberikan kerjasama dengan tidak menjawab panggilan atau mesej. Alamat yang kami tahu hanyalah alamay pejabat wali. Tidak tahu tempat tinggal wali. Kami ada cuba untuk menghubungi wali di pejabat, tetapi wali sentiasa tidak ada atau sedang sibuk. Wali dan ibu telah lama berpisah sejak lahir dan wali tidak pernah ambil tahu atau membayar nafkah kepada pihak perempuan. Bolehkah kami menggunakan cara lain selain kebenaran wali?
Jawapan
Kewujudan wali adalah wajib semasa akad nikah dan ia merupakan salah satu daripada rukun-rukun nikah. Perkahwinan seorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diakadkan oleh walinya atau mendapatkan kebenaran dari walinya.
Namun sekiranya wali itu enggan atau tidak mahu memberi kerjasama, maka pihak perempuan boleh membuat aduan ke mana-mana Pejabat Agama Islam yang berhampiran dengan tempat tinggal berkaitan perkara ini dan pihak Pejabat Agama Islam akan menjalankan sesi rundingcara untuk mendapatkan maklumat terperinci kenapa wali tersebut enggan atau tidak memberi kerjasama selain untuk memujuk agar wali itu memberi kebenaran untuk anaknya berkahwin. Sekiranya proses tersebut gagal dan wali tetap tidak bersetuju atau tidak bekerjasama maka permohonan perempuan itu akan dipanjangkan ke Mahkamah Syariah untuk proses permohonan Wali Hakim atau Wali Raja. Sekiranya permohonan itu diluluskan, maka perempuan itu boleh dinikahkan dengan menggunakan Wali Hakim.
Sekian, terima kasih.