Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt
Saya tinggal di taman perumahan dan mempunyai jiran yang berkongsi pagar. Jiran saya menanam pokok buah- buahan dan tidak lama selepas itu, rumah jiran saya itu dilelong oleh pihak bank kerana jiran saya gagal membayar pinjaman bulanan. Rumah itu masih kosong dan tiada penghuni. Soalan saya, bolehkah saya mengambil hasil buah daripada pokok yang ditanam oleh bekas jiran saya itu dan apakah hukumnya?
Terima kasih.
Jawapan
Pada asanya haram untuk mengambil harta benda orang lain tanpa keizinan pemiliknya. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat ke 29:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil.
Merujuk soalan yang diajukan, puan tidak dibenarkan mengambil buah dari pokok jiran tersebut kecuali setelah mendapat keizinan pemiliknya. Seperti yang disebutkan dalam Mughni al-muhtaj ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-minhaj karangan Al-Khatib Al-Sharbini:
Maksudnya: Apa sahaja yang ditemui di tanah milik seseorang adalah hak pemilik tanah itu jika dia menuntutnya.
Sebaiknya hubungi jiran tersebut untuk mendapatkan keizinan. Jika tidak dapat dihubungi, diharuskan untuk mengambil buah-buahan tersebut, dengan niat untuk mengelakkan berlaku pembaziran. Jika dikemudian hari, pemilik buah-buahan tersebut meminta ganti rugi, maka wajib menggantikannya. Walau bagaimanapun, cara untuk mendapatkan buah-buahan tersebut hendaklah dengan cara yang tidak menimbulkan fitnah seperti menceroboh, memanjat pagar dan sebagainya. Diharuskan untuk mengambilnya dengan tujuan manfaat sendiri sahaja dan tidak boleh untuk dijual kepada orang lain.
Sekian, terima kasih.