Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya nak bertanya soalan mengenai talak. Saya dan suami bergaduh dan ketika pergaduhan tersebut dia menyebut nama penuh saya dan menyatakan sekiranya saya keluar rumah pergi ke aktiviti zumba maka talak akan jatuh, dan selepas beberapa hari saya bertanyakan dia kenapa sampai perlu jatuhkan talak sedangkan dia tahu itu aktiviti yang sering saya lakukan untuk diri saya sendiri.. Untuk pengetahuan ustaz suami saya tidak bekerja dan tanggunjawab nafkah sepenuhnya pada saya. saya mempunyai 3 orang anak dimana dua sudah pun bekerja dan yang kecil masih lagi bersekolah. Saya dan suami telah berbaik dan yang menjadi masaalah nya adakah talak akan jatuh sekiranya saya tetap melakiukan aktiviti berzumba walaupun suami mengatakan tiada niat untuk bercerai dan hanya melafazkan tanpa ada niat. saya perlukan penjelasan dari ustaz, sekian terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Secara umum cerai atau talak ta'liq bermaksud mengaitkan jatuh talak dengan berlakunya sesuatu perkara. Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, taʻliq membawa maksud suami mengantungkan talak kepada isterinya dengan sifat atau syarat yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain atau berlaku pada masa hadapan. Justeru apabila perkara tersebut berlaku, maka jatuhlah talak. Seperti ucapan suami: "Sekiranya engkau keluar rumah pergi ke aktiviti zumba maka talak akan jatuh". Kesannya adalah apabila isteri keluar ke tempat yang dilarang oleh suaminya, maka boleh menyebabkan jatuhnya talak.
Menjawab pertanyaan puan, sekiranya lafaz ta’liq tersebut dilanggar maka ia boleh menyebabkan jatuh talak. Dan majoriti fuqaha mazhab berpendapat bahawa lafaz ta'liq tidak boleh dibatalkan atau ditarik balik apabila telah diucapkan. Hal ini kerana lafaz cerai bersyarat seolah-olah suami telah melaksanakan lafaz talak. Lafaz yang diucapkan adalah lafaz yang sarih atau jelas, maka taklik talak boleh berlaku walaupun tanpa niat. Oleh yang demikian, kami mengesyorkan agar puan merujuk dalam kadar segera ke Mahkamah Syariah berhampiran puan, kerana isu berkaitan talak cerai adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang menentukan sama ada suatu lafaz taklik talak itu sah atau tidak.
Sekian, terima kasih