Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Saya ingin bertanya mengenai status keberkatan gaji.
Saya bekerja dalam bidang IT. Tugas saya memerlukan saya untuk attend ticket berdasarkan laporan kerosakan hardware atau software komputer oleh pengguna. Dalam surat tawaran kerja saya telah dinyatakan waktu bekerja bermula jam 9 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat. Berdasarkan nature pekerjaan saya adalah berdasarkan laporan kerosakan daripada pengguna, ticket aduan daripada pengguna adalah tidak menentu, ada ketika banyak dan ada ketika kurang. Untuk setiap kerosakan, timeframe membaikpulih adalah tidak sama dan tidak dinyatakan masa minimum atau maksimum yang dihadkan bagi setiap pembaikan kerosakan tetapi setiap ticket perlu di closed kan dalam sistem dalam tempoh 3 hari bekerja.
Soalan saya:
1. Sekiranya saya telah attend ticket dan berjaya siapkan tugas membaikpulih pada jam 2 petang, tetapi dalam sistem tetap memerlukan saya untuk closed ticket berdasarkan timeframe dalam sistem (iaitu sehingga jam 6 petang) adakah menjadi kesalahan saya pulang pada pukul 2 petang?
2. Sekiranya saya attend ticket melebihi kebiasaan norma, dan saya claim kerja lebih masa (ot) berdasarkan kerja lebih tersebut, adakah claim ot saya dikira salah? Sebagai contoh situasi, norma closed ticket dalam sistem adalah 3 ticket sehari, tetapi saya berjaya siapkan 5 ticket, maka lagi 2 ticket saya claim sebagai kerja lebih masa (ot) kerana sistem tidak membenarkan closed ticket yang banyak dalam tempoh sehari (9 pagi hingga 6.00 petang).
Mohon pencerahan. Terima kasih.
Pencerahan: *saya* di sini bukan saya.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, dalam isu keberkatan gaji, konsep utama dalam Islam adalah amanah, keadilan, dan ketelusan dalam bekerja dan menerima upah. Berdasarkan situasi yang diberikan berikut adalah kupasannya secara umum:
1. Isu pulang awal selepas menyiapkan tugas pada pukul 2 petang
Hukum asal bekerja adalah mengikut kontrak yang telah dipersetujui antara majikan dan pekerja. Dalam kes ini, waktu bekerja yang ditetapkan adalah 9 pagi hingga 6 petang.
Walaupun tugas utama (membaikpulih) sudah selesai lebih awal, pekerja masih perlu berada dipejabat kerana masih berada dalam tempoh waktu bekerja yang telah dipersetujui.
Jika majikan membenarkan pekerja pulang lebih awal selepas tugas diselesaikan, maka tidak ada masalah. Namun, jika kontrak menyatakan pekerja mesti berada di pejabat atau standby hingga 6 petang, pulang awal tanpa kebenaran boleh dianggap sebagai mengabaikan amanah pekerjaan.
Kesimpulan: Jika pulang awal tanpa kebenaran majikan, gaji yang diterima untuk baki waktu tersebut boleh menjadi syubhah kerana ia bukan atas usaha sebenar.
2. Isu Claim OT kerana menyiapkan lebih banyak tiket daripada norma
Konsep OT secara umum yang diamalkan adalah upah atau bayaran bagi kerja yang dilakukan di luar waktu kerja biasa.
Dalam kes ini, norma penutupan tiket adalah 3 tiket sehari, tetapi pekerja menyiapkan 5 tiket dan menuntut OT untuk 2 tiket tambahan. Persoalan utama di sini ialah waktu kerja:
- Jika kerja tambahan itu dilakukan selepas 6 petang, maka ia boleh dianggap sebagai kerja lebih masa dan layak untuk OT.
- Jika kerja tersebut masih dalam waktu kerja (9 pagi – 6 petang), tetapi hanya melebihi norma, maka ia tidak layak untuk OT kerana pekerja masih berada dalam tempoh kerja rasmi.
Satu lagi isu ialah sistem tidak membenarkan closed ticket lebih daripada had tertentu sehari. Jika pekerja mendahului had sistem tetapi tetap membuat tuntutan OT, ia boleh menjadi tidak jujur kerana sistem tidak mengiktiraf jumlah tambahan itu dalam sehari.
Kesimpulan: Claim atau tuntutan OT hanya sah jika kerja lebih masa dilakukan selepas waktu kerja rasmi. Jika tuntutan dibuat atas sebab kerja disiapkan lebih cepat daripada norma tetapi masih dalam waktu kerja, maka tuntutan itu tidak dianggap sebahagian dari OT.
Oleh itu, berdasarkan penerangan di atas, dapat disimpulkan bahawa menjaga amanah dalam waktu kerja adalah tuntutan syarak. Sekiranya kontrak menetapkan waktu bekerja sehingga jam 6 petang, maka tindakan pulang lebih awal tanpa kebenaran boleh menjejaskan keberkatan gaji yang diterima.
Amanah dalam menuntut kerja lebih masa (OT) pula menuntut kejujuran; ia hanya boleh dituntut sekiranya kerja benar-benar dilaksanakan di luar waktu kerja yang ditetapkan.
Sebaiknya, berbincanglah secara terbuka dengan pihak majikan bagi mendapatkan penjelasan tentang dasar syarikat, khususnya yang berkaitan dengan waktu kerja dan tuntutan bayaran. Ini penting bagi mengelakkan unsur syubhah dalam gaji yang diterima agar setiap urusan berjalan dengan jelas, adil dan berlandaskan amanah
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman yang benar serta taufik untuk mengamalkan dan menghayati ajaran agama ini selaras dengan tuntutan Hukum Syarak.
Sekian, terima kasih.