Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
BAGAIMANA SAYA INGIN MENDAPAT BORANG SERAH DUIT INSURANCE KONVONSIONAL..KERANA WANG NI ADA LA HARTA YANG DI TINGGAL KAN OLEH ARWAH ISTERI SAYA SEMASA HIDUP
Jawapan
Terima kasih atas pertanyaan tuan. Kami mengucapkan takziah atas pemergian isteri tuan. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan memberi ketabahan serta ganjaran kesabaran kepada tuan sekeluarga.
Untuk makluman tuan, duit insurans konvensional boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama:
Duit caruman bulanan yang dibayar oleh arwah semasa hayatnya – Duit ini dianggap milik arwah kerana ia datang daripada harta beliau sendiri. Maka, selepas kematian, duit tersebut menjadi harta pusaka yang mesti dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid.
Duit pampasan (manfaat yang dibayar oleh syarikat insurans selepas kematian) – Duit ini datang daripada kontrak perjanjian antara arwah dan syarikat insurans. Dalam konteks insurans konvensional, ada unsur yang dikategoriakn sebagai tidak patuh syarak yang melibatkan elemen seperti gharar (ketidaktentuan), maisir (judi) dan riba.
Sehubungan itu, dicadangkan agar tuan menyemak semula jumlah keseluruhan caruman yang telah dibayar oleh arwah sepanjang hayatnya dan membezakan dengan jumlah pampasan yang diterima. Bahagian caruman tersebut dianggap sebagai harta pusaka dan wajib dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid. Manakala lebihan daripada jumlah caruman itu, disarankan agar tuan merujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor atau Majlis Agama Islam Negeri masing-masing bagi mendapatkan panduan lanjut berkenaan tatacara agihan pusaka dan pelupusan wang yang tidak patuh syariah, serta bantuan pengurusan berkaitan.
Semoga Allah SWT memberi kemudahan dan keberkatan kepada tuan dalam menguruskan harta peninggalan ini dengan penuh amanah dan ketakwaan.
Sekian, terima kasih