Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalaamualaikum.
Saya ingin mohon pencerahan mengenai wakaf karpet lama surau.
Surau telah menerima karpet baru.
1. Maka ada jemaah yang mohon membeli karpet lama surau untuk dinfakkan ke surau lain kerana karpet tersebut masih cantik dan boleh digunakan.
2. Ada jemaah yang ingin membeli karpet tersebut untuk kegunaan sendiri kerana masih cantik dan elok dengan harga RM25.00 sekeping (sekeping karpet berukuran lebih kurang 3 kaki kali 6 kaki). Harga asal karpet tersebut ratusan ringgit tetapi telah digunakan lebih kurang 5 tahun.
3. Ada jemaah yang mohon mendapatkan karpet tersebut secara percuma untuk diletakkan di surau sekolahnya.
Mohon pencerahan mengenai cara terbaik menguruskan harta wakaf tersebut.
Terima kasih. Wassalaamualaikum
Jawapan
Hadis riwayat Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Apabila telah mati seorang manusia, maka terputuslah baginya pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya. (Riwayat Muslim)
Istilah wakaf menurut syarak ialah menahan sesuatu harta yang boleh didapati manfaatnya dalam keadaan ‘ain (fizikal) harta tersebut masih kekal, dengan cara memutuskan hak pemilikan harta tersebut daripada pewakaf atau selainnya untuk digunakan kepada perkara-perkara yang diharuskan.
Para ulama berselisih pendapat mengenai keharusan menjual harta yang diwakafkan. Menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’i, harta wakaf yang sudah tiada manfaat (rosak) harus untuk dijual sekiranya hasil jualan tersebut boleh mendatangkan maslahat. Ini seperti mana yang dinyatakan oleh al-Nawawi:
Maksudnya: Berdasarkan pandangan yang muktamad ialah harus menjual tikar masjid (yang diwakafkan) apabila ia telah usang dan batang-batang kayunya apabila ia telah pecah, dan ia tidak sesuai melainkan untuk dibakar.
Berdasarkan kepada pandangan ini, memandangkan karpet wakaf lama masih elok dan boleh digunakan, maka sebaiknya ia disalurkan kepada tempat lain yang menjalankan fungsi ibadah seperti surau, musolla atau sekolah. Sama ada melalui pemberian percuma atau dijual dengan niat agar hasil jualannya digunakan semula untuk manfaat surau, kedua-duanya adalah dibenarkan dengan syarat ianya mendapat kelulusan atau dipantau oleh pihak yang diiktiraf sebagai nazir (penjaga harta wakaf), seperti Jawatankuasa Surau di bawah kariah masjid.
Apa yang penting ialah:
Tujuan asal wakaf kekal terpelihara.
Tiada unsur memperdagangkan harta wakaf untuk keuntungan individu atau mana-mana pihak.
Setiap hasil (sama ada dalam bentuk harta atau wang) digunakan semula untuk manfaat jemaah dan kerja-kerja kebajikan.
Maka, pihak surau boleh membuat keputusan yang terbaik berdasarkan keperluan semasa, dengan memastikan bahawa semangat dan matlamat wakaf terus hidup, dan pewakaf asal tetap mendapat ganjaran pahala yang berterusan, insya-Allah.
Semoga Allah SWT memberkati segala usaha dan memberi taufik dalam mengurus amanah wakaf ini dengan penuh hikmah dan adil.
Sekian, terima kasih.