Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam tuan mufti ada sesetengah kes dimana kembar sewaktu di dalam rahim hanya satu yang lahir kerana satu lagi(mungkin meninggal) telah diserap DNA nya ke dalam kembar yang lahir,jadi individu itu ada 2 DNA dalam satu masa(DNA dia dan kembarnya),ini disebut Chimera Twin,bila ada sesetengah kes kembar yang telah diserap oleh individu yang sudah lahir itu mewariskan/mengeluarkan sperma/DNA-nya dan membentuk proses persenyawaan,bila anak itu lahir ujian DNA dibuat maka tidak sepadan dengan DNA si ayah kerana itu DNA bapa saudaranya.Soalannya apakah nasab anak yang lahir itu adalah berbinkan bapanya walaupun DNA tidak sepadan?
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Dalam kes Chimera Twin, secara biologinya seseorang boleh memiliki dua set DNA akibat penyatuan dengan kembarnya dalam rahim. Namun begitu, Islam menetapkan bahawa setiap nasab ditentukan berdasarkan perkahwinan yang sah, bukan semata-mata ujian DNA. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidatina 'Aisyah RA:
Maksudnya: Adalah ‘Utbah telah mewasiatkan dengan bersungguh-sungguh kepada saudaranya Sa’d bahawa anak yang dilahirkan oleh hamba perempuan Zam’ah adalah anaknya. Justeru, ambillah dan peliharalah. Tatkala tahun pembukaan kota Mekah, Sa’d mengambilnya seraya berkata, “Ini anak saudaraku yang diminta kepadaku untuk memeliharanya.” Kemudian ‘Abd bin Zam’ah bangkit dan berkata, “Dia adalah saudaraku dan anak isteri ayahku.” Kemudian kedua-duanya berlumba-lumba menuju kepada Nabi SAW. Maka kata Sa’d, ‘Ya Rasulullah, dia anak saudaraku yang diwasiatkan kepadaku untuk memeliharanya.’ Kemudian Abd bin Zam’ah mencelah, ‘Dia adalah saudaraku dan anak isteri ayahku yang dilahirkan pada masa perkahwinan.’ Maka jawab Nabi SAW, “Dia bagi kamu wahai ‘Abd bin Zam’ah. Ini kerana nasab anak kepada perkahwinan yang sah. Sedangkan penzina adalah keaiban.”. Kemudian sabda Baginda SAW kepada Saudah binti Zam’ah, "Hendaklah kamu berhijab daripadanya." Ini kerana Rasulullah SAW mendapati anak tersebut amat menyerupai ‘Utbah. Maka tidaklah anak tersebut melihat Saudah sehingga bertemu Allah atau mati. (Riwayat al-Bukhari)
Kesimpulannya, nasab seseorang anak disandarkan kepada bapanya yang sah kerana dia lahir daripada pernikahan yang sah walaupun hasil ujian DNA tidak sepadan. Hakikatnya, Islam mengutamakan asas kesahihan hubungan perkahwinan dalam menentukan nasab, dan bukan pula berdasarkan ujian saintifik semata-mata.
Sekian, terima kasih.