Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt. Semoga soalan ini dapat dijawab oleh ustaz. Kisah ringkasnya begini:
saya ada 5 orang adik beradik, kami ditinggalkan oleh ayah kami (kerana dia telah berkahwin lain), tanpa sebarang nafkah, hubungan telefon dan khabar berita. Cuba untuk hubungi, tidak berjawab, tiada alamat rumah dan kami adik beradik dan ibu pernah dihalau, dibaling batu dan diberi amaran keras "kau jangan nk ikut atau cari aku lagi". Pada masa yang sama isteri baru tersebut guna cara syirik iaitu bomoh utk merosakkan kluarga kami.
Alhmdulillah direzekikan kami ada ibu yg bertungkus lumus sendiri menyara kami sehingga kami semua sekarang ada kerja yang baik. Ada pendapatan sendiri dan bina keluarga hidup yg baru. Syukur pd Allah.
Bertahun lamanya, kini ayah kami mencari kami utk selesaikan hutang2 ah long nya. Dan kami difahamkan juga dia didiagnose dgn kanser usus tahap 4.
berkali-kali isteri kedua ayah kami telefon untuk ambil alih penjagaan ayah kami ini, dan disuruh untuk bertanggungjawab atas sebab ''anak'.
Persoalan saya, adakah kami berdosa sekiranya kami mnta supaya isterinya saja yg uruskan makan minum dan urusan hospital ayah? Pada masa yg sama kami takut dgn ancaman Ah Long yg ada, demi kselamatan kluarga kecil kami.
adakah kami semua ini akan jadi anak derhaka dan kemudian tidak diterima amalannya? Mohon penjelasan ustaz. Semoga tergolong dalam rahmat Allah.
Jawapan
Berdasarkan situasi yang diterangkan, kewajipan menyara dan membantu bapa adalah di bawah tanggungan anak. Ini kerana, isteri tidak dituntut menafkahi suami. Walaupun begitu, kewajipan sebagai seorang isteri untuk berkhidmat kepada suami masih dipertanggungjawabkan. Oleh itu, pada sudut tanggungan dan perbelanjaan adalah dibawah tanggungjawab anak. Manakala, tanggungjawab menjaga dan berkhidmat kepada ayah tersebut adalah bawah tanggungjawab isteri ayah. Jika isteri ayah enggan menjaganya, maka anak perlulah berusaha bagi menjaga kebajikan ayah. Adapun berkenaan dengan permasalahan ahlong, boleh laporkan kepada pihak polis dan dapatkan bantuan baitulmal negeri bagi menyelesaikan isu ini.
Sekian, terima kasih.