BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz, saya nak bertanya saya ada mengambil RM100 semasa membuat program di universiti. Duit itu adalah sebahagian kutipan pelajar pelajar kolej yang memasuki program pertandingan tersebut dan duit itu adalah duit dari sebahagian kutipan untuk membeli hadiah dan bagi pemganjuran pertandingan. Bagaimanakah caranya jika perkara tersebut sudah berlaku 20 tahun yang lepas dan bagaimana caranya untuk saya memulangkan duit tersebut?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Dalam Islam, mengambil harta orang lain tanpa izin adalah suatu perbuatan yang dilarang dan diharamkan. Walaupun kejadian ini berlaku 20 tahun lepas, hukum Islam tetap mengutamakan untuk memulangkan semula harta yang tidak sah. Dalam kes ini, jika duit itu digunakan untuk tujuan yang salah atau tidak dipulangkan, maka ia wajib dipulangkan semula, kerana ia adalah harta yang sah untuk dimiliki.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 39:

فَمَن تابَ مِن بَعدِ ظُلمِهِ وَأَصلَحَ فَإِنَّ اللهَ يَتوبُ عَلَيهِ ۗ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Maksud: Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Berdasarkan kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

  1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya.
  2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin
  3. Harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal

Walaupun nilainya tidak besar, tetapi ia tetap harta yang perlu dipulangkan semula dan penyalurannya kepada pihak Majlis  Agama Islam (Baitulmal) negeri-negeri adalah antara pilihan terbaik kerana peranan Majlis Agama Islam adalah sebagai pemegang amanah harta umat Islam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 29

message user image