Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Apakah hukum memberi duit raya melalui aplikasi Touch N Go. Contohnya memberi duit raya menggunakan packet money yang terdapat dalam aplikasi tersebut. Packet money ada 2 pilihan iaitu 'random' dan 'equal'. Kalau 'random', penerima perlu scan dan bergantung kepada nasib ada yang dapat banyak dan ada yang dapat sikit (nilai penerima dapat adalah random). Kalau 'equal', setiap penerima yang scan akan menerima jumlah yang sama. Mohon pencerahan samada dibolehkan dua2 pilihan ataupun macam mana.
Terima kasih.
Jawapan
Amalan memberi duit raya sama ada kepada kanak-kanak, ibu bapa, saudara-mara, kaum kerabat dan seumpamanya adalah bertepatan dengan konsep amalan memberi sedekah dalam Islam selain mampu mengeratkan silaturahim antara keluarga dan masyarakat.
Namun ingin dinyatakan bahawa memberi duit raya dalam Islam bukanlah sesuatu yang wajib, tetapi ia adalah amalan yang digalakkan bagi yang berkemampuan. Tujuan utama adalah untuk menggembirakan orang lain dan memberi sumbangan kecil kepada mereka yang memerlukan.
Hukum memberi duit raya menggunakan aplikasi e-wallet seperti Touch 'n Go adalah diharuskan, selagi mana ianya tiada unsur penipuan, riba, atau ketidakadilan dalam proses pemberian.Begitu juga dengan pemberian duit raya secara random dan equal adalah dibolehkan selagi mana ianya tiada unsur perjudian atau penipuan.
Sekian, terima kasih.