Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamulaikum Tn Mufti,
Saya ada baca sebuah artikel yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia tentang meminta tolong dari orang mati di mana ustaz yang menulisnya mengatakan harus hukumnya dengan bersandarkan fatwa dari Mesir. Contoh lafaznya ialah 'Wahai Wali Allah (sudah mati). Aku ada masalah yang besar dan sukar. Bantulah aku wahai Wali". Ustaz itu mengatakan orang soleh yang mati sebenarnya tetap hidup dan mendapat rezeki dari Allah sebagaiman firman Allah dalam Al-Quran. Sedangkan lebih banyak ayat ayat Al-Quran dan hadith menyeru kepada meminta kepada Allah.
Apakah perbuatan meminta tolong dari orang mati diharuskan dalam agama mengikut kefahaman yang sebenarnya terhadap ayat ayat Al-Quran dan hadith?
Mohon penjelasan Tn Mufti. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada peersoalan yang diajukan. Berdoa adalah satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam kerana ia merupakan bentuk penghambaan dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. Firman Allah dalam surah Ghafir ayat 60:
Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagi kamu.
Oleh itu, asas utama dalam berdoa adalah memohon secara langsung kepada Allah SWT, kerana hanya Dia yang memiliki kuasa mutlak dalam mengabulkan doa hamba-hamba-Nya.
Namun begitu terdapat perbincangan dalam kalangan para ulamak mengenai istighasah, iaitu meminta pertolongan kepada orang yang telah meninggal dunia supaya mereka memohon kepada Allah SWT bagi pihak orang yang berdoa. Isu ini adalah perkara khilafiyah yang diperselisihkan oleh para ulama dari sudut hukum dan praktiknya. Khilafiyah sendiri adalah perkara ijtihadiyyah, yang tidak boleh dihukum sebagai bid'ah dan sesat seperti yang ditegaskan dalam fatwa yang diwartakan pada 31 Julai 2014.
Meminta bantuan kepada orang yang telah meninggal dunia dalam konteks istighasah tidak menafikan pergantungan kepada Allah SWT. Ini kerana hakikatnya, istighasah adalah satu bentuk tawassul di mana permintaan tetap ditujukan kepada Allah SWT melalui perantaraan para solihin, sama ada para nabi, wali atau orang-orang soleh. Segala kuasa dan ketentuan tetap berada dalam kekuasaan mutlak Allah SWT.
Terdapat hadis yang menjadi salah satu dalil keharusan istighasah seperti yang diriwayatkan oleh Malik al-Dar, kata beliau:
Maksudnya: Telah terjadi kemarau yang menimpa manusia pada zaman khalifah Umar al-Khattab. Maka telah datang seorang lelaki ke kubur Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! mintalah diturunkan hujan kepada Allah SWT. Sesungguhnya mereka sedang dalam keadaan kesusahan. Kemudian datang Baginda SAW dalam mimpi lelaki tersebut lalu bersabda: Pergilah berjumpa dengan Umar dan sampaikan salamku kepadanya. Beritahulah kepada mereka bahawa hujan akan turun. Serta katakan kepada Umar supaya sentiasa berhati-hati. Maka lelaki tersebut berjumpa Umar dan memberitahu berita tersebut. Lalu Umar pun menangis lalu berkata: Wahai Allah! Aku tidak akan mengabaikan sesuatu melainkan ia diluar kemampuanku. (Riwayat Ibnu Abi Syaibah)
Begitu juga terdapat pandangan ulama yang mengharuskan istighasah kepada orang yang telah meninggal seperti Imam al-Ramli, al-Qustallani dan al-Samhudi. Kata Shihabuddin al-Ramli dalam Fatawa beliau:
Maksudnya: Sesungguhnya istighasah dengan para nabi dan rasul serta para wali Allah, para ulama dan orang-orang soleh adalah diharuskan. Bagi para rasul dan nabi serta wali-wali Allah dan orang-orang soleh dibolehkan istighasah dengan mereka selepas kewafatan mereka. Ini kerana mukjizat para nabi dan karamah para wali tidak terputus dengan kewafatan mereka.
Berdasarkan keterangan ini, keharusan meminta bantuan (istighasah) kepada orang yang telah meninggal dunia terhad kepada para Nabi, orang soleh dan wali Allah SWT sahaja. Pengamalan istighasah ini juga mestilah mengikut kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah. Walaupun begitu, ia tidak digalakkan dalam kalangan orang awam kerana masih belum ada garis panduan yang jelas berkenaan istighasah.
Tambahan pula, asas utama dalam berdoa adalah memohon terus kepada Allah SWT kerana hanya Dia yang berkuasa mengabulkan doa sebagaimana ayat dalam surah Ghafir ayat 60 yang telah disebutkan dalam perenggan di atas. Pada masa yang sama sebagai langkah saddu al-zariah, iaitu mencegah kemudaratan yang lebih besar, perbuatan istighasah ini perlu dielakkan daripada dipromosi dan diamalkan secara berleluasa dalam masyarakat Malaysia pada hari ini. Ini bagi mengelakkan kekeliruan, salah faham dan kemungkinan berlakunya unsur kesyirikan sekiranya ia tidak difahami dengan betul. Oleh itu, pendekatan terbaik adalah menanamkan kefahaman yang benar tentang doa dan tawassul berdasarkan prinsip yang selari dengan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah, agar masyarakat sentiasa bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT dalam doa yang dipanjatkan dan dalam setiap urusan kehidupan mereka.
Sekian, terima kasih.