BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz , kawan saya telah lafaz kan cerai talak 1 pada bulan 11 thun lps ,dan semalam terjadi pertengkaran yang sangat teruk ,dlm keadaan marah yg extreme dia telah melafazkan cerai talak 3 kepada isteri nya . Soalan saya ,adakah talak itu sah?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Terdapat dua jenis talak berdasarkan kepada lafaz yang diucapkan oleh suami. Pertama: talak sorih (jelas), dan kedua: talak kinayah (tidak jelas). Talak sorih, seperti ucapan suami kepada isteri: "Aku ceraikan engkau", atau "Aku talakkan engkau" dan sebagainya maka talak akan berlaku walaupun tanpa niat, walaupun suami hanya bergurau senda. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثلاثٌ جِدُّهنَّ جدٌّ وَهَزلُهُنَّ جِدٌّ: النِّكاحُ والطَّلاقُ والرَّجعةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud).

Yang kedua adalah talak kinayah (tidak jelas), ia seperti ucapan suami kepada isteri: "Kau bukan isteri aku", "Antara kita tidak ada hubungan lagi" dan sebagainya maka ia bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Namun, jika suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

Menjawab persoalan yang diajukan :

Jika lafaz kawan tuan itu adalah lafaz yang jelas atau sorih maka ia boleh menyebabkan jatuhnya talak walaupun tanpa niat atau sedang dalam keadaan marah, atau sebaliknya sekiranya lafaz yang diungkapkan itu adalah lafaz kiasan atau kinayah maka ia perlu ada niat suami untuk menceraikan isterinya sebagaimana yang telah di jelaskan di atas.

Walau bagaimanapun, kawan tuan tersebut hendaklah merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan kadar segera kerana pengesahan lafaz talak adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Apatah lagi sekiranya timbul pertikaian antara suami atau isteri, terutama berkaitan kesahihan lafaz tersebut atau pertikaian terhadap situasi yang membawa kepada berlakunya lafaz talak itu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 47

message user image