Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Adakah benar hukum makruh apabila diamalkan akan menjadi haram?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, makruh dan haram adalah dua hukum yang berbeza. Makruh menurut mazhab al-Shafie ialah benci atau tidak disukai. Makruh terbahagi kepada dua jenis iaitu makruh tahrim dan makruh tanzih yang meliputi sesuatu yang dituntut supaya ditinggalkan serta tidak boleh dipertikaikan. Melakukan perkara yang makruh tidak mendapat dosa, tetapi jika tidak dilakukan akan mendapat pahala. Jika semakin banyak perkara makruh dilakukan seseorang, pahalanya tidak bertambah. Sebaliknya, jika seseorang semakin menginggalkan perkara yang makruh, maka semakin bertambahlah pahalanya. Namun, mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang makruh adalah lebih afdhal, kerana ia menunjukkan bahawa sebagai seorang muslim, seseorang itu mengambil berat tentang hukum hakam, perintah dan patuh kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Apa yang dilarang dan ditegahnya maka kita wajib mematuhinya tanpa banyak soal. Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: قَالَ دَعُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ إِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِسُؤَالِهِمْ وَاخْتِلَافِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ Maksudnya : “Biarkanlah aku dengan apa yang aku tinggalkan kepada kamu semua. Sesungguhnya telah binasa orang yang sebelum kamu tidak lain kerana banyak persoalan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Maka apabila aku melarang kamu daripada sesuatu urusan, jauhilah ia dan apabila aku memerintahkan kamu dengan suatu urusan, lakukanlah sekadar yang termampu.” (Riwayat al-Bukhari) Justeru, jangan bermudah-mudah berterusan melakukan perkara makruh, kerana ia akan menyebabkan gagal mengumpul amalan sebanyak mungkin dan boleh menjurus kepada melakukan perkara yang haram. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.