Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Jika pasangan telah bercerai di mahkamah syariah, pada minggu pertama perceraian (tempoh idah) pasangan telah terlanjur melakukan hubungan kelamin, adakah dikira rujuk sekiranya ia hanya sekadar nafsu tanpa perasaan? Pasangan tiada niat untuk rujuk kembali.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan, dalam mazhab Shafi’i melakukan persetubuhan dalam tempoh iddah adalah haram. Suami juga diharamkan berseronok-seronok dengan bekas isterinya yang ditalak raj’ie sebelum dirujuk. Jika suami ingin merujuk kembali isteri, mestilah dengan lafaz rujuk, bukannya dengan sengaja melakukan persetubuhan.
Mereka yang telah melakukan kesalahan tersebut hendaklah segera bertaubat.
Harus bagi suami merujuk isterinya yang telah diceraikan dengan talak satu atau dua walaupun tanpa izin (kerelaan) isterinya, kerana tidak disyaratkan kerelaannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 228;
Maksudnya: Dan suami-suaminya berhak merujuknya dalam masa menanti itu, jika mereka (para suami) menghendaki islah (kebaikan).
Hikmah iddah bagi talak raj'ie adalah memberi peluang kepada pasangan agar dapat berbaik semula dan rujuk kembali semasa dalam tempoh tersebut. Jika tempoh tersebut disalah guna, diambil kesempatan, bersekedudukan tanpa niat untuk rujuk, maka jelaslah mereka telah melakukan kesalahan yang nyata.
Perbuatan tersebut juga boleh dianggap sebagai menyalahi Enekmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003: Persetubuhan luar nikah antara orang yang bercerai.
Syeksen 132. (1) Seseorang lelaki yang, setelah menceraikan dengan sah isterinya, bersekedudukan semula dengannya tanpa terlebih dahulu melafazkan ruju’ yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
(3) Seseorang perempuan yang bersubahat melakukan suatu kesalahan di bawah subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih