BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum...Saya hendak bertanya hukum menjual rokok?

Ayah saya hendak membuka sebuah kedai runcit dan kami mempunyai pertanyaan bahawa adakah dibenarkan menjual rokok disisi Islam.Hal ini kerana hukum menghisap rokok adalah haram maka kami berpendapat bahawa menjualnya juga haram sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW berkaitan hukum minum arak dan menjual arak kedua²nya diharamkan

Oleh kerana itu..saya inginkan jawapan kepada persoalan tersebut serta hukum syariah islam dan hukum undang² Malaysia

Terima Kasih atas pertolongan serta saya meminta maaf jika ada tersalah kata dan tersalah bicara


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Dalam Islam menjual produk yang haram atau memudaratkan adalah tidak dibenarkan, lebih-lebih lagi apabila produk tersebut jelas mempunyai kemudaratan terhadap individu dan masyarakat. Dalam kes rokok, walaupun ia sah dari sudut perundangan Malaysia, namun hukum syarak menganggap penjualan rokok sebagai menggalakkan kemudaratan kepada orang ramai, kerana ia menyumbang kepada kebinasaan yang merosakkan kesihatan.  Berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada mac 1995, muzakarah telah memutuskan merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam. Begitu juga di Negeri Selangor, telah mewartakan fatwa hukum pengharaman rokok bertarikh 25hb Oktober 1995.

Antara syarat jual beli adalah tidak menjual benda yang haram atau tidak bermanfaat. Oleh kerana rokok telah difatwakan haram, maka jual beli rokok juga diharamkan. Bahkan orang yang menjualnya dikira bersubahat dalam kemungkaran. Memandangkan kedai tersebut adalah kepunyaan sendiri dan tuan mempunyai kuasa untuk tidak menjualnya, maka adalah wajar untuk tidak menjual rokok di premis tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 18

message user image