Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, Insyallah saya nak menamakan anak pertama saya Luth, Nama salah seorang nabi. Tetapi ada sesetengah orang membangkang mengatakan nama itu tidak elok. Apa pandangan Encik dalam hal ini? Terima Kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, menamakan anak dengan nama-nama nabi adalah baik dan harus. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Wahb al-Jusyamiy bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ Maksudnya: “Berikanlah nama dengan nama para anbiya’. Dan nama yang paling dicintai oleh Allah adalah Abdullah dan Abd al-Rahman” (Riwayat Abu Daud) Manakala nama nabi Luth adalah nama yang elok dan Allah tinggikan darjatnya atas umat di zamannya, sebagaimana firman Allah SWT : وَإِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَيُونُسَ وَلُوطًا ۚ وَكُلًّا فَضَّلْنَا عَلَى الْعَالَمِينَ Maksudnya : “Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya)”. (al-An’am : 86) Adapun yang tidak elok adalah kaumnya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.