Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Saya ingin mengajukan pertanyaan mengenai hukum menyertai program sumbangan rambut dalam Islam. Saya seorang Muslim dan bercadang untuk mendermakan rambut saya kepada hospital dan pesakit kanser yang memerlukan, bagi tujuan pembuatan rambut palsu (wig) untuk mereka yang mengalami keguguran rambut akibat rawatan perubatan seperti kemoterapi.
Saya ingin mendapatkan pencerahan daripada sudut syarak, adakah sumbangan rambut ini dibenarkan dalam Islam? Adakah terdapat garis panduan tertentu yang perlu dipatuhi sekiranya ia dibenarkan?
Saya amat menghargai sekiranya pihak Pejabat Mufti Selangor dapat memberikan pandangan dan fatwa berkenaan perkara ini. Segala maklum balas daripada pihak tuan amat saya hargai.
Sekian, terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, hukum menyumbang atau menderma rambut bagi tujuan pembuatan rambut palsu (wig) untuk mereka yang mengalami keguguran rambut akibat rawatan perubatan seperti kemoterapi yang akan disambungkan dengan rambut-rambut yang lain adalah haram.
Ini kerana ia termasuk dalam kategori menyambung rambut (وصل الشعر) yang telah jelas dilarang oleh syarak, walaupun rambut itu disambungkan dengan rambut asli manusia lain, dan walaupun tujuannya adalah untuk pemulihan psikologi atau penampilan.
Segala bentuk perbuatan yang membawa kepada penyambungan rambut – sama ada menderma, membuat, atau memakai rambut palsu untuk tujuan tersebut – tetap termasuk dalam larangan ini, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Allah melaknat wanita yang menyambung rambut dan wanita yang meminta supaya rambutnya disambung. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Meskipun niatnya baik untuk membantu pesakit yang kehilangan rambut, kaedah yang bercanggah dengan hukum syarak tidak dibenarkan, kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Sebaiknya, salurkan bantuan dalam bentuk lain yang tidak bertentangan dengan syariat, seperti penyediaan tudung khas, topi, atau sokongan psikososial yang lain.
Semoga Allah membalas niat baik dan membuka jalan bantuan yang lebih barakah dan patuh syariah, insyaAllah.
Sekian, terima kasih