BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum, saya ada pertanyaan mengenai nafkah, saya telah berkahwin dan saya berkerja begitu juga suami saya dan suami saya anak ke- 7 dari 9 adik beradik (8 lelaki dan 1 perempuan-  2 orang abang meninggal dunia) , di sini saya ingin bercerita tentang masalah yang saya dan suami hadapi iaitu ,"jika keluarga suami saya ada abang yang telah meninggal dunia dua orang dan masing-masing mempunyai isteri serta anak-anaknya maka ibu dan bapanya akan memikul tanggungjawab tersebut namun ibu bapanya hanya cukup-cukup makan dan tidak mahu mengambil tangungjawab tersebut, selain itu mereka ada adik beradik lain (lelaki) tapi mereka juga tidak mahu ambil tangungjawab tersebut kerana mereka pun mempunyai keluarga mereka sendiri dan tangungjawab tersebut akan jatuh pada suami saya sebab saya mengingatkan dia akan tanggungjawab tersebut akan tetapi masalahnya ibu dan bapa nya juga meminta pertolongan kewangan kepada dia dan suami saya lebih mengutamakan ibu bapanya daripada bini serta anak-anak abangnya yang telah meninggal dunia sedangkan bila ibubapa dan abang-abangnya berduit mereka tidak teringat akan tangungjawab nafkah tersebut, persoalannya adakah saya atau suami akan berdosa jika tidak menunaikan tangungjawab nafkah kepada bini serta anak-anak abangnya yang telah meninggal dunia ?

Masalah yang kedua iaitu saya berkerja dan suami saya juga berkerja namun pendapatan saya lebih besar daripada dia, permasalahnya jika suami saya membagi atau membantu dari segi kewangan kepada ibu bapa atau adik dan abangnya, saya tidak mendapat bahagian nafkah untuk keperluan dan makanan, tetapi saya redho dan kadang kadang tidak redho dengan keadaan tersebut sebab hanya suami saya tempat mereka meminta bantuan dan kadang-kadang keperluan dan makanan saya akan mengunakan duit saya sendiri, apakah akan jatuh  hukum kepada suami saya jika selama 3 bulan tidak dapat membagi nafkah kepada saya serta apakah hukum jika saya mengunakan duit saya untuk keperluan dan makanan sehari-hari kami ?

 

bertanya beberapa soalan yang pertama iaitu :

1.persoalannya adakah saya atau suami akan berdosa jika tidak menunaikan tangungjawab nafkah kepada bini serta anak-anak abangnya yang telah meninggal dunia ?

2.apakah akan jatuh TAKLIK kepada saya jika selama 3 bulan tidak dapat membagi nafkah kepada saya disebabkan tangungjawabnya kepada ibubapa, adik dan abangnya atau bini serta anak-anak abangnya yang telah meninggal dunia?

3.Pentanyaan ketiga, antara ibu bapa dan bini serta anak-anak abangnya yang telah meninggal dunia yang manakan kah lebih diutamakan dalam menunaikan tanggungjawab nafkah ?

4.apakah hukum jika saya mengunakan duit saya untuk keperluan dan makanan sehari-hari kami ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

1. Menurut pandangan Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari dalam kitab Asna al-Matalib fi Syarh Raud al-Talib: Sesungguhnya yang hanya diwajibkan nafkah kepada kaum kerabat yang bersifat punca dan cabang keturunan (qarabah ba’diyyah) iaitu furuk (anak, cucu, cicit) dan yang ke bawah dan usul (bapa kandung, ibu kandung, datuk, nenek) dan yang ke atas sahaja, iaitu tidak termasuk kaum keluarga yang lain seperti adik beradik lelaki, adik beradik perempuan, pakcik, makcik sama ada lelaki mahupun perempuan, sama ada yang tergolong daripada pewaris harta atau tidak.

Meskipun saudara-saudara yang lain seperti bapa saudara tidak wajib menanggung nafkah anak saudaranya itu, namun mereka digalakkan untuk menghulurkan bantuan. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin Amir, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الصَّدَقَةَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الرَّحِمِ اثْنَتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

Maksudnya: Sesungguhnya memberi sedekah kepada orang miskin adalah sedekah, manakala memberi sedekah kepada saudara-mara dihitung dua kelebihan, iaitu sedekah dan silaturahim. (Riwayat al-Nasa’ie) 

2. Jatuh atau tidak taklik (Taklik yang dibaca selepas akad nikah) adalah tertakluk kepada aduan isteri ke Mahkamah Syariah, sekiranya benar suami cuai atau tidak menyediakan nafkah mengikut masa yang dinyatakan dalam taklik, maka isteri boleh mengadu ke mahkamah dan setelah dibicarakan oleh pihak mahkamah dan sabit suami tidak menyediakan nafkah yang selayaknya, barulah mahkamah boleh memutuskan bahawa taklik talak telah berlaku. Namun sekiranya isteri tidak mengadu ke mahkamah maka taklik itu tidak akan menyebabkan talak jatuh.

3. Imam al-Syawkani dalam kitab Nayl al-Awtar menyebut bahawa: Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibubapa hanya wajib jika anak mampu. Para ulama’ telah sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibubapa.

4. Sekiranya puan redha dan ikhlas, maka ia adalah dibolehkan dan menjadi amalan kebajikan puan dalam membantu urusan rumahtangga, namun jika sebaliknya puan boleh menuntut kepada suami bila dia mampu untuk membayar semula perbelanjaan yang telah puan keluarkan tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 23

message user image