BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

SOALAN BERKAITAN FARAID

Salam, kakak kandung saya baru meninggal dunia. Dia belum pernah berkahwin. Ibu, bapa, datuk dan nenek kami juga telah meninggal dunia. Kami ada 8 beradik semuanya, maksudnya selepas kematian kakak saya, hanya kami 7 beradik sebagai waris si mati. Kami ingin menguruskan faraid arwah segera. Jadi, saya ingin bertanya bagaimanakah faraid harta arwah boleh diuruskan? Adakah kami 7 beradik sahaja sebagai waris yang berhak ke atas faraid tersebut? Bagaimana pula kaedah pembahagian harta tinggalan arwah tersebut (1/2, 1/3, 1/4 dan sebagainya) serta bagaimana pengiraan dibuat berdasarkan pembahagian tersebut? (contoh, jika harga tinggalan arwah ada RM10,000, adakah kiraan 1/2 x RM10,000, kemudian 1/4 x RM10,000 dsb.)?

Mohon pencerahan.

Sekian, wasalam..terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Faraid adalah peraturan dalam hukum syarak yang mengaturkan pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang. Hukum Faraid adalah satu aspek penting dalam hukum keluarga Islam dan ia merupakan syariat dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 7:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ  نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”

Dalam hukum syarak, ahli waris yang mempunyai hak faraid ke atas pusaka si mati sama ada mempunyai: 

  1. Pertalian darah, atau
  2. Pertalian perkahwinan.

Merujuk kepada soalan yang diajukan dan tambahan maklumat yang diberikan, bahawa waris yang tinggal adalah 4 saudara lelaki kandung dan 3 saudara perempuan kandung. Kesemua adik-beradik kandung menerima asobah dengan kadar nisbah lelaki 2 bahagian dan perempuan 1 bahagian.

Pengiraan adalah seperti berikut:

4 lelaki dan 3 perempuan, dengan kadar nisbah lelaki 2 bahagian dan perempuan 1 bahagian, maka asas pokok pembahagian adalah 11 bahagian. Oleh itu, setiap saudara lelaki mendapat 2/11, dan setiap saudara perempuan 1/11. 

Untuk mendapatkan kepastian dan pengiraan yang lebih tepat terhadap harta pusaka yang ditinggalkan, disarankan untuk berhubung dengan Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 19

message user image