BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanya mengenai hukum berdagang dalam emas atau forex menggunakan akaun Islamik seperti AvaTrade Islamic Account. Adakah ia dibenarkan dalam Islam? Saya ingin memastikan bahawa transaksi yang saya lakukan mematuhi prinsip Syariah, terutamanya berkaitan dengan riba, gharar, dan unsur-unsur yang dilarang dalam muamalat Islam.

https://www.avatrade.com/trading-info/islamic-account

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan, emas merupakan barang ribawi, yang mana transaksi yang dibuat mestilah mematuhi syarat yang ditetapkan dalam jual beli emas. Jual beli emas mesti memenuhi dua syarat utama iaitu sama kuantiti dan berlaku serah terima secara lani atau on the spot tanpa tangguhan. Jika salah satu syarat ini tidak dipenuhi maka urusniaga tersebut perlu dielakkan

Manakala dagangan forex Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang pada tahun 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu secara Lani (Lani Individual Spot Forex) melalui platform elektronik. Muzakarah memutuskan ia adalah haram kerana bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Huraian lanjut pada pautan berikut:

https://i-fiqh.islam.gov.my/portal/view.php?id=10293 

Tidak harus menggunakan platform ini untuk tujuan dagangan emas atau forex, walaupun ia dinamakan 'Akaun Islamik'. Hal ini kerana ia tidak memenuhi prinsip asas muamalat Islam, khususnya dari aspek pemilikan sebenar, bebas riba, dan ketelusan urus niaga. Adalah lebih baik untuk menghindari urus niaga seperti ini dan memilih bentuk perniagaan atau pelaburan yang jelas halal serta mematuhi prinsip-prinsip Syariah. Keutamaan juga wajar diberikan kepada pelaburan yang mendapat pengiktirafan dan pemantauan daripada pihak berautoriti dalam hal ehwal kewangan dan pelaburan Islam, demi menjaga keberkatan rezeki dan ketenangan hati sebagai seorang Muslim.

Hasil semakan di laman web rasmi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia turut mendapati bahawa platform ini disenaraikan dalam senarai amaran pelabur ( klik pautan berikut Investor Alert List), yang menandakan ia tidak diiktiraf atau tidak dikawal selia oleh pihak berkuasa kewangan negara. Maka, umat Islam sewajarnya lebih berhati-hati dan menjauhi sebarang bentuk pelaburan yang meragukan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 126

message user image