BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya perihal berkaitan hukum balik kg untuk menjaga mak mertua suami ketika dihari raya, dihari ketika anak²nya tiada kesempatan untuk berada dirumah menemani mak, adakah dibenarkan untuk ibu saya, seorang menantu yang dalam iddah kematian suami untuk pulang dan bermalam untuk menjaga dalam kadar tempoh hari yang singkat, tak dilupakan juga, rumah dikampung itu juga merupakan tempat tinggal biasa yang didiami dahulu sebelum berpindah ke tempat lain, dan masih lagi bermalam dikampung dalam tempoh 1-2 hari dalam sebulan serta masih tidak melebihi 2 marhalah. 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Firman Allah SWT dalam al-Baqarah ayat 234:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا 

Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (ber’iddah) selama empat bulan sepuluh hari.

Wanita yang sedang ber’iddah kematian suami juga diwajibkan untuk tinggal dan duduk di rumahnya (al-mahrum suami) sehingga tamat ‘iddah, selagi mana tidak takut serta bimbang akan keselamatan diri, agama dan maruahnya. 

Dalam tempoh iddah, seseorang wanita tidak boleh keluar dari rumahnya melainkan dhorurah (mendesak) atau hajat yang penting seperti ke hospital untuk rawatan, dan ke kedai membeli makanan sekiranya tiada orang lain yang boleh membelikan untuknya. Maka hajat dan dharurah membenarkan wanita yang sedang ihdad untuk keluar daripada rumahnya. Namun keharusan ini hanya pada waktu siang sahaja dan tanpa bermalam di rumah lain. Terdapat dalil yang diriwayatkan daripada Mujahid bahawa, ramai lelaki yang gugur syahid dalam peperangan Uhud, lalu balu-balu mereka datang bertemu Rasulullah SAW meminta kebenaran untuk tidur di rumah sesama mereka kerana kesunyian pada waktu malam. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda:

تحدثن عند إحداكن ما بدا لكن فإذا أردتن النوم فلتؤب كل امرأة منكن إلى بيتها

Maksudnya: Berbicaralah sesama kamu apa yang sepatutnya. Akan tetapi apabila tiba masa kamu ingin tidur (pada waktu malam), maka beredarlah setiap daripada kamu ke rumah masing-masing.

Berdasarkan hadis ini, wanita yang dalam ihdad (berkabung) dan ‘iddah tidak boleh bermalam di rumah orang lain dan tidak boleh keluar rumah pada waktu malam kecuali jika dharurat (terpaksa). Namun sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir tanah runtuh gempa bumi dan sebagainya mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.

Merujuk kepada persoalan, perlulah dipastikan adakah ada dharurat dan keperluan yang mendesak kepada ibu untuk bermalam di rumah mertua, jika tidak mendesak, maka dinasihatkan untuk menjaga tempoh iddah dan tunggu sehingga selesai tempoh iddah. Dinasihatkan juga untuk berbincang bersama ahli keluarga yang lain agar ahli lain mempunyai peluang untuk bermalam bersama ibu mertua.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 19

message user image