Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz...
Beberapa tahun yang lalu, keluarga kami ada menerima pampasan wang ringgit daripada kerajaan yg ingin membuat pembangunan di atas tanah pusaka. Walaubagaimanapun ada beberapa nama dalam geran tanah tersebut tidak disenaraikan sebagaii penerima pampasan tersebut. Mereka yg tak dapat menuntut hak mereka. Duit tersebut kami dah dapat dan terpakai. Kami sepakat menggantikan dengan sebidang tanah mengikut nilai yang dituntut.
Sozlannya : Apakah hukumnya dan adakah ia dibolehkan.
Jawapan
Hukum faraid adalah peraturan dalam hukum syarak yang mengaturkan pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang dan ia merupakan syariat dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 7:
Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).
Diperkuatkan lagi hadis yang diriawayatkan daripada Abdullah bin Abbas, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Bahagikanlah harta perwarisan kepada mereka yang berhak dalam kalangan ahli waris. Sekiranya ada yang berbaki, maka yang lelaki dalam kalangan kamulah yang lebih berhak. )Riwayat al-Bukhari)
justeru, ilmu berkaitan ilmu harta pusaka adalah penting kerana ada hak orang yang perlu dijaga dan dipelihara. Jika diceroboh, maka harta yang telah diguna, diambil dan disalah guna perlu dipulangkan semula kepada pihak yang berhak tanpa terkurang hatta 1 sen sekalipun. Saranannya adalah pulangkan dengan nilai sama yang telah diambil dengan persetujuan pihak yang menuntut.
Semoga kita tidak tergolong dalam mereka yang Allah SWT jelaskan dalam Surah al-Fajr ayat 19- 23:
Maksudnya: Dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur baurkan (yang halal dengan yang bathil), Dan kamu mencintai harta benda dengan cara yang berlebihan. Jangan (melakukan perkara tersebut). Apabila bumi digoncangkan berturut-turut, Dan datanglah Tuhanmu; sedang Malaikat berbaris-baris. Dan pada hari itu diperlihatkan neraka Jahannam; dan pada hari itu ingatlah manusia, tidak akan berguna lagi mengingat itu baginya.
Sekian, terima kasih