Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Adakah dibenarkan dalam islam untuk menuntut wang insurans persendirian (syariah compliance- medikal insurans sendiri ) sedangkan insurans syarikat telah terlebih dahulu membuat bayaran perubatan (operation) tersebut?
Jawapan
Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.
Islam tidak membenarkan perbuatan seperti ini diamalkan, kerana jika diketahui oleh kedua-dua pihak iaitu insurans persendirian mahupun syarikat bekerja ianya akan merugikan kedua-duanya. Sedangkan matlamat kepada perlindungan insurans adalah menanggung kos perubatan atau apa sahaja yang terkandung dalam kontrak dan bukanlah mengaut keuntungan persendirian.
Sekiranya polisi perlindungan peribadi yang dimiliki menawarkan pampasan dalam bentuk elaun harian hospital (hospital income benefit), pampasan tetap bagi prosedur tertentu (seperti pembedahan besar, hilang upaya kekal dan seumpamanya), atau apa-apa bentuk manfaat lain yang tidak termasuk dalam pembayaran terus oleh pihak syarikat, maka tuntutan tersebut harus dituntut. Ini kerana ia merupakan manfaat yang dijanjikan dalam kontrak, dan tidak bergantung kepada siapa yang membayar kos rawatan tersebut.
Namun, adalah wajar untuk berbincang terlebih dahulu dengan pihak syarikat dan penyedia perkhidmatan takaful atau medical card bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan memastikan tiada pertindihan manfaat yang boleh menimbulkan keraguan dari sudut syariah atau kontrak.
Untuk peringatan bersama, sebagai seorang Muslim, kita dituntut untuk mengutamakan sistem takaful berbanding insurans konvensional. Ini kerana perbezaan akad antara kedua-duanya di mana insurans konvensional mengandungi unsur riba, gharar (ketidakpastian), dan maisir (judi), yang menjadikannya tidak dibenarkan (haram) menurut hukum syarak.
Sebaliknya, takaful berasaskan prinsip tolong-menolong (ta‘āwun) dan derma (tabarru‘), serta diuruskan dengan struktur syariah yang diawasi oleh panel penasihat syariah, menjadikannya selaras dengan kehendak Islam.
Sekian, terima kasih