Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada 2 soalan.
Pertama, suami saya melafazkan talak sehari sehari sebelum raya. Semasa dia lafazkan, saya dlm keadaan suci sehinggalah petang, saya datang bulan (hari yang sama).. tiada saksi tapi sangat jelas " saya ceraikan awak dengan talak 1" kemudian dia balik ke kampung. Selang beberapa hari dia ajak saya untuk rujuk semula tapi saya tak mahu. Sekarang ini, boleh kah kalau saya pergi pejabat agama berdekatan saya (walaupun kami nikah di negeri lain) sendirian tanpa suami untuk daftar cerai?
Soalan kedua, daripada situasi tersebut adakah sy dikira dlm iddah dan jika tidak rujuk, adakah perceraian tu sah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan,
1. Lafaz talak dari suami iaitu : " saya ceraikan awak dengan talak 1", adalah lafaz yang soreh. Justeru, puan hendaklah laporkan perkara ini ke Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran tempat tinggal untuk pengesahan oleh Hakim Syarie. Hanya pihak Mahkamah Syariah sahaja yang mempunyai bidangkuasa mengesahkannya. Puan boleh hadir sendirian untuk membuka fail atau hadir bersama suami. Walau bagaimanapun, puan hubungi terlebih dahulu pihak mahkamah untuk maklumat selanjutnya.
2. Status pengesahan cerai hanya diketahui sebaik sahaja diputuskan oleh Hakim Syarie. Begitu juga dengan tempoh iddah puan.
Sekian, terima kasih.