Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Adakah wajib bertudung bagi oku masalah pembelajaran? Hanya bertudung di luar rumah tetapi tidak bertudung dalam rumah yang ada ajnabi.
Jawapan
Merujuk kepada soalan saudari, dalam Islam, kewajipan bertudung termasuk dalam perintah menutup aurat bagi wanita yang baligh dan berakal. Namun, bagi Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran, hukum bertudung bergantung kepada tahap kefahaman dan keupayaan mentalnya. Sekiranya OKU tersebut masih mampu memahami perintah agama, maka dia tetap wajib menutup aurat, termasuk bertudung di hadapan ajnabi. Ini kerana kewajipan menutup aurat tidak gugur bagi mereka yang masih boleh memahami hukum asas agama. Walau bagaimanapun, sekiranya dia tidak dapat memahami hukum-hakam, maka dalam hal ini dia dikategorikan sebagai "tidak mukallaf" (tidak dipertanggungjawabkan).