Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukum membeli stocks menggunakan applikasi broker ? Apa yang saya faham pembelian trading CFD (cost for differences) adalah haram kerana tiada wujud fizikal untuk transaksi pembelian. Hanya membeli nilai ke atas nilai tersebut. Pembelian stocks pula adalah kita membeli amount share jadi pemilikan kepada stock syarikat tersebut. Jadi fahaman saya membeli stock kepada syarikat yang tiada unsur Riba, Gharar, Maysir, dan Haram adalah dibenarkan dan Halal dari unsur jual beli. Jika ianya adalah salah, mohon pencerahan. Jzkk
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, hukum membeli stock menggunakan aplikasi broker secara asasnya adalah harus jika memenuhi syarat patuh Syariah iaitu tidak terlibat dengan aktiviti haram seperti riba, spekulasi atau gharar, judi, ponografi dan hiburan melampau. Membeli stock menggunakan aplikasi broker yang benar-benar membeli dan memiliki saham adalah dibenarkan, namun jika membeli stock hanya berdagang CFD tanpa memiliki aset sebenar adalah tidak dibenarkan dan menjadi haram. Perlu di fahami bahawa pembelian trading CFD adalah diharamkan berikutan ia tiada aset pendasar yang mana pembeliannya dilihat hanya untuk mengambil peluang atas perubahan harga, seolah-olah suatu pertaruhan yang boleh membawa kepada konsep judi.
Sekian, terima kasih.