BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Apakah hukum isteri menyatakan secara jujur kepada suami bahawa isteri tidak lagi mempunyai hawa nafsu untuk bersama atau kata lain tiada keinginan bersama. Namun isteri tetap mengizinkan suami bersama kerana suami meminta haknya. Dalam situasi ini isteri merelakan walau tiada keinginan. Adakah isteri dianggap nusyuz


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Nusyuz dari sudut istilah syara, kebiasaannya disifatkan kepada isteri, yang mana dia telah berkelakuan meninggi diri kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan kepada suami yang diwajibkan oleh Allah SWT.

Dalam menjawab persoalan puan, seseorang isteri boleh dihukumkan nusyuz apabila dia derhaka atau ingkar atau tidak taat pada perintah suami atau keinginan suaminya selagi mana arahan dan kemahuan suami itu tidak bercanggah dengan hukum syara. Dan dalam konteks pertanyaan puan, puan tidaklah boleh dianggap sebagai nusyuz kerana puan masih tetap melayan kemahuan suami dan masih menghormati suami dari sudut pelaksanaan tuntutan hak dan keinginan suami. Adapun isu yang kaitan dengan perasaan seseorang samada sayang, benci, tiada nafsu dan sebagainya adalah perbuatan batin yang selagimana ia tidak direalisasikan dalam bentuk zahir maka tiada hukum yang boleh diltetapkan pada situasi seumpama itu.

Walau bagaimanapun, puan dan suami berbincanglah dengan cara yang terbaik bagi memastikan isu yang berlaku ini ada solusi dan jalan penyelesaian yang dapat diputuskan bersama antara suami dan isteri. Ini kerana perasaan kasih dan sayang adalah antara matlamat yang disasarkan dalam kehidupan berumahtangga. Hubungan suami isteri sama ada zahir dan batin yang disulami dengan penuh kasih dan sayang juga akan menjadikan tujuan perkahwinan tercapai sebagaimana yang dikehendaki syara.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 16

message user image