Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum..Saya nak tanya, saya bakal berkahwin tahun ini. Pasangan saya mempunyai bapa tiri. Soalan saya, bolehkah di dalam kad jemputan kahwin, pasangan saya meletakkan nama beliau berbintikan bapa tiri?Hanya di dalam kad jemputan kahwin sahaja. Ini kerana untuk mengelakkan terjadi nya perbualan orang ramai. Mohon berikan penjelasan .
Jawapan
Dalam konteks Islam, nasab dan keturunan merupakan perkara penting yang perlu dipelihara dengan baik demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat. Jika tidak ia boleh menyebabkan kerosakan terhadap institusi kekeluargaan seperti mengelirukan susur galur keturunan, menimbulkan fitnah dan masalah terhadap pembahagian harta pusaka.
Dalam menjawab pertanyaan saudara, walaupun mungkin meletakkan nama bapa selain bapa sebenar itu tidak merosakkan institusi kekeluargaan dan tidak menjejaskan nasab seseorang kerana hanya dalam sesuatu dokumen yang tidak rasmi contohnya kad jemputan kahwin, namun kita khuatir normalisasi amalan seumpama ini boleh mengakibatkan penyalahgunaan sebahagian individu yang tidak bertanggungjawab. Sebagai contoh tanpa ‘bin’ atau ‘binti’ seseorang mampu membuat helah untuk menyembunyikan status anak angkatnya atau sebagainya. Sedangkan sebagai seorang muslim wajib menisbahkan anak angkat atau seseorang anak itu kepada bapa kandungnya. Dan sekiranya tidak dibintikan dengan bapa kandung, akan lebih menimbulkan perbualan ramai dan pelbagai fitnah yang mungkin boleh menjejaskan individu tersebut dan pastinya bapa kandung itu juga akan terkilan dan terasa kecewa atau tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku itu.
Sekian, terima kasih.