Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Saya hendak bertanya berkaitan talak. Suami saya ada berkata semasa marah "Lebih baik kita berpisah, kau balik kampung kau sendiri". Bila keadaan dah reda, saya bertanya memang itu ke niat suami dan suami berkata iya.
Soalan pertama adalah ia jatuh talak dan saya serta suami perlu pergi ke pejabat agama/mahkamah untuk lafaz cerai?
Soalan kedua, adakah talak itu jatuh sekiranya saya pulang ke kampung bersendirian tanpa suami?
Mohon pencerahan berkaitan isu ini. Terima kasih.
Jawapan
Lafaz suami puan tersebut adalah lafaz khabari, iaitu suatu kenyataan dalam bentuk cadangan untuk berpisah. Lafaz ini tidaklah boleh dikategorikan sebagai lafaz talak kerana ia adalah suatu cadangan dari suami untuk berpisah. Sekiranya selepas itu suami ada melafazkan talak secara sorih atau jelas barulah boleh menyebabkan jatuhnya talak.
Walaubagaimanapun, sekiranya puan perlukan penjelasan lanjut, puan dan suami boleh merujuk ke mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran kerana ia adalah merupakan pihak yang berautoriti dalam hal ehwal kekeluargaan Islam.
Sekian, terima kasih.